Kalam Salan

KUALA LUMPUR – Inilah nasibku!

Demikian luahan yang didakwa berulang kali diterima Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) daripada pesawah ketika beliau melakukan tinjauan di lapangan.

Ia sekali gus menggambarkan tekanan hidup yang dihadapi golongan itu akibat peningkatan kos pengeluaran serta hasil yang tidak seimbang.

Membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada peningkatan hukuman terhadap pesalah industri, sebaliknya perlu menangani punca sebenar masalah yang membelenggu pesawah.

“Jangan hanya naikkan denda, naikkan juga mutu benih padi. Jangan hanya mencari kesalahan, carilah punca masalahnya. Sebenarnya petani kita ini rajin, bukannya malas.

“Dalam keadaan mereka menghadapi harga racun yang tinggi, kos upah meningkat dan pelbagai cabaran lain, mereka tetap mengerjakan sawah,” katanya.

Beliau berkata, ramai yang tidak mengetahui pengorbanan pesawah yang terpaksa turun ke sawah pada waktu malam dan awal pagi kerana itulah waktu paling sesuai untuk membasmi ulat padi.

“Tahukah bahawa pesawah kita hari-hari pergi ke sawah siang dan malam? Untuk meracun ulat padi, waktu yang sesuai ialah selepas Maghrib dan sebelum Subuh kerana ketika cuaca sejuk ulat keluar dari batang padi.

“Kalau datang tengah hari, ulat masuk semula ke dalam batang dan racun tidak berkesan. Begitulah perit jerih kehidupan pesawah,” katanya.

Beliau turut berkongsi hasil tinjauan terhadap kira-kira 50 pesawah yang ditemuinya, dengan kebanyakan mereka meluahkan nasib sama.

“Saya tanya seorang pesawah, ‘mengapa kamu jadi begini?’ Dia jawab, ‘YB, inilah nasibku. Hari-hari pergi ke sawah, harap tuai bertambah mewah. Input naik tak sudah-sudah, upah Bangladesh pun kita parah.

“Saya tanya pesawah kedua. Dia jawab lagi, ‘Inilah nasibku. Hari-hari pergi ke sawah, panas terik tak pernah marah. Benih mahal, baja pun susah, hasil belum, bil dah singgah,” katanya sambil melagukan luahan itu mengikut irama lagu ‘Inilah Nasibku’ nyanyian kumpulan rap legenda, Nico.

Menurutnya, seorang lagi pesawah turut berseloroh mengenai kesibukan mereka mengusahakan sawah sehingga tidak sempat mengikuti perkembangan bola sepak.

“Dia kata, ‘Inilah nasibku. Hari-hari pergi ke sawah, siang malam tak pernah lelah. Sampai tak sempat nak tengok bola, tahu-tahu Brazil kalah,’” katanya sehingga mencetuskan suasana ceria dalam Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pelabelan beras import yang dicampurkan dengan beras tempatan dan menggesa kerajaan lebih telus kepada pengguna.

“Kalau beras dalam kampit itu beras campuran, tulislah beras campuran. Jangan tulis beras import sedangkan ia sudah dicampur dengan beras tempatan.

“Saya minta supaya rakyat jangan ditipu,” katanya.

RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini bagi memberikan kuasa kepada kerajaan untuk campur tangan dalam pasaran padi negara.

Pindaan berkenaan bertujuan memperkukuhkan mekanisme kawal selia industri padi dan beras negara selain membolehkan tindakan intervensi dilaksanakan dengan lebih pantas sekiranya berlaku tekanan pasaran yang boleh menjejaskan pengguna serta pesawah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast