AMMAN – Tentera Jordan berjaya memintas lapan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran pada hari Khamis selepas republik Islam itu mendakwa telah menyasarkan sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara berkenaan dalam siri baharu serangan balas antara Tehran dan Washington.

“Dalam kenyataan, sistem pertahanan udara Jordan berjaya memintas dan menembak jatuh lapan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran menuju ke ruang udara Jordan hari ini,” menurut kenyataan tentera negara itu.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa, mereka menyerang “pusat kawalan dan arahan AS di Asia Barat serta pangkalan udara musuh di Al-Azraq, Jordan, menggunakan 10 peluru berpandu balistik.”

IRGC turut memberi amaran, “sekiranya tentera pengganas AS mengulangi pencerobohan mereka, pangkalan-pangkalan AS lain di rantau ini tidak akan terlepas daripada bedilan hebat kami”.

Pelancaran peluru berpandu itu berlaku pada hari kedua berturut-turut serangan balas antara AS dan Iran, termasuk puluhan serangan udara AS ke atas Iran, sekali gus menguji gencatan senjata yang rapuh ketika kedua-dua pihak terus bertelagah mengenai Selat Hormuz yang strategik.

Tentera Jordan berkata, tindakan memintas itu “menyebabkan beberapa serpihan jatuh ke tanah tanpa mengakibatkan sebarang korban jiwa atau kerosakan harta benda,” sambil menegaskan mereka “tidak akan membenarkan mana-mana pihak mencabuli ruang udara Jordan.”

Jurucakap kerajaan Jordan, Mohammad al-Momani, sebelum itu berkata, siren amaran dibunyikan selepas ruang udara negara itu dicerobohi oleh “peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, dan ia berjaya dipintas.”

Ini merupakan kali pertama Jordan mengumumkan kejayaan memintas peluru berpandu Iran sejak 11 Jun lalu, apabila tenteranya melaporkan berjaya menembak jatuh 20 peluru berpandu selepas IRGC mendakwa menyasarkan sebuah pusat arahan Amerika di Jordan sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas Iran.

Kawasan Al-Azraq menempatkan sebuah pangkalan udara Jordan yang sebelum ini digunakan oleh tentera AS, Jerman, Belgium dan Perancis dalam operasi menentang kumpulan militan negara Islam (IS).

Amman bagaimanapun menegaskan, Jordan tidak menempatkan pangkalan tentera asing, namun sejumlah kecil anggota tentera dari beberapa negara ditempatkan di beberapa kem tentera Jordan di bawah perjanjian kerjasama dan latihan.

Pada awal April lalu, tentera Jordan memaklumkan sebanyak 281 peluru berpandu dan dron dari Iran telah menyasarkan negara itu sejak bermulanya perang di Asia Barat pada 28 Februari, dengan 261 daripadanya berjaya dipintas.

Pihak berkuasa turut memaklumkan, 30 orang cedera dalam serangan tersebut, namun kesemuanya telah dibenarkan keluar dari hospital. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast