Albert ketika mengadakan himpunan di hadapan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan hari ini. Gambar: Facebook Reformati Albert Tei Studio.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei menunaikan janjinya mengadakan himpunan di hadapan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan hari ini susulan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana melibatkan Menteri Besar Sementara Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon serta beberapa individu lain.

Albert mendakwa, aduan yang dibuat kepada badan penguatkuasa undang-undang itu selepas pendedahan dua dokumen yang didakwa menunjukkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM180,000 disalurkan ke akaun Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang sehari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan tidak diambil peduli.

Beliau mendakwa, berdasarkan dokumen yang didedahkan, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan mengesahkan, peruntukan bagi pelaksanaan program atau aktiviti kesejahteraan rakyat untuk tempoh Julai hingga September 2026 telah dimasukkan ke akaun pusat khidmat berkenaan pada 4 Jun 2026.

“DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun 2026, sekaligus menyebabkan Nicole Tan tidak lagi memegang jawatan sebagai ADUN Bukit Kepayang selepas tarikh tersebut.

“Bagaimana peruntukan itu disalurkan sehari sebelum pembubaran DUN, sedangkan program yang diperuntukkan adalah bagi tempoh Julai hingga September 2026.

“Dalam keadaan DUN akan dibubarkan, mengapa peruntukan sebesar RM180,000 disalurkan secara tergesa-gesa ke akaun pusat khidmat tersebut?

“Selepas pembubaran DUN, Nicole Tan bukan lagi wakil rakyat kerajaan dan tidak mempunyai kuasa untuk menguruskan peruntukan itu,” dakwanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau mendakwa, tindakan berkenaan mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa, penipuan serta penyelewengan dana kerajaan negeri bagi kepentingan peribadi dan politik.

Sehubungan itu, Albert Tei mendesak SPRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat unsur jenayah.

Beliau turut menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai kesalahan serius yang perlu disiasat segera demi memastikan integriti pengurusan dana awam terus terpelihara.

Dakwaan yang dikemukakan oleh Albert Tei ini merupakan tuduhan yang telah dilaporkan kepada SPRM minggu lepas.

Setakat ini belum terdapat sebarang kenyataan balas daripada Aminuddin, Nicole Tan atau keputusan siasatan rasmi SPRM berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast