A. Kumaresan Aramugam

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), A. Kumaresan Aramugam mendakwa, MIC tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk menjadi sebuah parti yang satu-satunya mewakili dan memperjuangkan masyarakat India.

Beliau turut mendakwa pendirian MIC tidak konsisten apabila parti itu, yang sebelum ini pernah menyuarakan hasrat meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), kini kembali menyokong BN, sekali gus membuktikan kelangsungan politik lebih diutamakan berbanding kepentingan masyarakat India.

Katanya, tindakan MIC yang sanggup mempertimbangkan kerjasama dengan PN hanya kerana tidak berpuas hati dengan kedudukannya dalam BN membuktikan soal prinsip dan mandat rakyat boleh diketepikan demi kepentingan politik.

“Kredibiliti MIC sebagai parti yang memperjuangkan masyarakat India semakin dipersoalkan apabila parti itu dilihat lebih mengutamakan percaturan politik berbanding kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumaresan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban berkata, sokongan masyarakat India terhadap MIC sebenarnya telah mula merosot sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 apabila pengundi semakin sedar politik berasaskan sentimen semata-mata tidak lagi mencukupi.

Beliau berkata, masyarakat kini lebih memerlukan kepimpinan yang mampu menawarkan dasar, peluang serta penyelesaian terhadap isu sebenar yang dihadapi komuniti itu.

Menurutnya, sepanjang kempen PRN Johor, MIC lebih banyak menumpukan serangan terhadap Pakatan Harapan (PH) berbanding menjelaskan tawaran baharu yang mampu diberikan kepada masyarakat India.

Beliau turut mendakwa, kenyataan bahawa hanya MIC memperjuangkan masyarakat India tidak lagi mencerminkan realiti semasa.

Kumaresan berkata, di bawah Kerajaan Madani, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkasakan masyarakat India termasuk dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan dan kebajikan.

Katanya, pendekatan PH adalah memperjuangkan kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum, selain memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi India di Johor supaya menilai rekod prestasi, kestabilan politik dan kemampuan sesebuah gabungan mentadbir negeri serta negara ketika membuat pilihan pada PRN Johor. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast