Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa singgah sebentar di Festival Muzik Johor Bahru (JB) di Perling Mall di sini, malam ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sempat berpesan kepada pengunjung festival berkenaan untuk pulang awal supaya dapat keluar mengundi esok.

“Malam ini, tak apa, saya nak anak-anak enjoy, relax, tetapi balik awal, esok pergi mengundi, boleh,,” katanya ketika naik ke atas pentas sebaik tiba di festival berkenaan.

Turut sama pada festival itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Dalam ucapan yang berlangsung kira-kira dua minit itu, Anwar turut mengingatkan kepada anak muda supaya menjaga perpaduan yang membawa kepada keamanan negara.

“Kita mesti terus jaga persahabatan dan persaudaraan kita. Anak-anak muda kena ingat, negara kita ini aman sebab kita bekerjasama. Negara ini aman sebab semua kaum dapat bersatu.

“Jangan bagi golongan pelampau pecah belahkan kita. Ini penting saya nak ingatkan.

“Jadi, bagi anak-anak, gunakan kuasa dengan baik, yang boleh mengundi esok, pergi undi dengan cepat. Tahu mana nak pilih,” soalnya.

Anwar turut berkata, rakyat perlu menilai pencapaian Kerajaan Persekutuan yang cakna dan mementingkan keperluan rakyat

“Ini bukan cakap kosong. Kita tengok rekod kita. Minyak turun atau naik? Diesel turun atau naik? Anak-anak sekolah semua dapat bantuan. Ini dasar baru kita. Dulu ada masalah-masalah kita cuba selesaikan,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu kemudian bertemu pengunjung festival seketika sebelum beredar meninggalkan majlis.

Beliua kemudian ke program terakhir iaitu Program Grand Finale, Johor Ke Depan, Undi Harapan PRN Johor di Pasir Gudang.

Esok ditetapkan sebagai Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast