Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

BUKIT GAMBIR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau dikritik hanya kerana berkawan dengan DAP.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu kerana kononnya DAP zalim, `menikam’ serta merampas hak kaum Melayu.

Sedangkan, ujar beliau, pihak yang membawa naratif itu sendiri merupakan kumpulan yang memperjuangkan serta mahu menyelamatkan hanya satu kaum.

“(Anwar) Tak okay sebab dia kawan dengan Cina. Dia kawan dengan DAP. Jadi salah saya apa? Saya zalim? Saya curi wang? Saya korap? Saya tak tolong orang? Tak. Sebab saya kawan dengan DAP. DAP buat apa? Dia tikam kita? Dia rampas hak kita?

“Yang bawa cerita ini kononnya nak selamatkan satu kaum. Tapi saya nak tanya, betul ke dia nak selamatkan satu kaum?

“Semalam di Parlimen dibentangkan hutang 1MDB yang merupakan kes Perdana Menteri lalu. Jumlah yang terpaksa dibayar negara adalah RM51 bilion.

“Adakah kita nak ulang macam itu? Adakah anak-anak di sini mahu keadaan itu berulang? Nak selamatkan negara atau tidak?” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Sahabat Madani di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program Sentuhan Sahabat Madani ketika di Bukit Gambir, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JULAI 2026.

Sehubungan itu, Anwar menyeru generasi muda membuat pilihan bijak pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 esok, sekiranya mahu menyelamatkan negara.

Menurut beliau, generasi muda khususnya mereka yang masih menuntut ilmu perlu mempunyai matlamat untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan.

Jelasnya, meskipun matlamat menuntut ilmu adalah untuk menjadi manusia yang bijaksana, namun terdapat mereka yang berpelajaran juga pintar dalam mencuri dan merompak.

Tambah beliau, kekayaan yang dimiliki negara ini adalah mencukupi untuk dinikmati oleh setiap rakyat, sekali gus mampu bertahan dan berkembang menjadi sebuah negara yang hebat.

“Ada orang yang pandai, tapi sombong. Ada orang yang pandai, tapi penipu.

“Yang tipu bank (kes 1MDB) dulu itu siapa? Orang pandai. Bukan orang kampung yang jaga kedai-kedai di sini. Kes 1MDB yang rugi RM50 bilion ini, takkan orang kampung Gambir ini boleh tipu sebanyak itu?

“Jadi buat keputusan yang bijak. Kerana apa yang kita buat itu akan menentukan masa depan negara kita.

“Jangan bagi ruang kepada mereka yang merosakkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program Sentuhan Sahabat Madani ketika di Bukit Gambir, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JULAI 2026.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast