Reaksi Calon BN N.24 Senggarang, Mohd Yusla Ismail selepas diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 N. 14 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi ( ADTEC), Batu Pahat, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2026.

BATU PAHAT – Mohd Yusla Ismail menyifatkan kemenangannya yang lebih besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam ini adalah hasil kata-kata keramat Barisan Nasional (BN) untuk menolak duduk semeja dengan DAP.

Beliau yang memenangi kerusi disandangnya itu dengan majoriti 7,916 undi berkata, pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu selari dengan kehendak rakyat Johor yang mahukan BN bergerak secara solo.

Menurutnya, ketegasan Onn Hafiz berjaya meningkatkan keyakinan rakyat untuk terus memberi mandat kepada BN mentadbir negeri itu, malah melonjakkan undi majoriti hampir sekali ganda berbanding 3,912 pada PRN 2022.

Reaksi Calon BN N.24 Senggarang, Mohd Yusla Ismail selepas diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 N. 14 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi ( ADTEC), Batu Pahat, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2026.

“Saya yakin rakyat percaya apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan pendirian tidak mahu duduk semeja dengan DAP, kenyataan itu tepat mengikut kehendak rakyat Johor.

“Rakyat berkeyakinan dengan Johor yang mahu bergerak secara solo,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diumumkan mempertahankan kerusi DUN Senggarang, di sini malam tadi.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Senggarang, Ahmad Azhar Ab Hamid mengumumkan Mohd Yusla mempertahankan kerusi berkenaan selepas menewaskan dua pencabar Parlimen dalam saingan tiga penjuru di Dewan Seri Intan, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat di sini malam ini.

Mohd Yusla memperoleh (16,796 undi) mengatasi Ahli Parlimen Batu Pahat daripada Pakatan Harapan (PH), Onn Abu Bakar, yang meraih (8,881) serta calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Rashid Hasnon, dengan (2,058 undi).

Calon BN N.24 Senggarang, Mohd Yusla Ismail bercakap pada media selepas diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 N. 14 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi ( ADTEC), Batu Pahat, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2026.

Kemenangan itu meletakkan Mohd Yusla dengan majoriti (7,916) hasil mandat rakyat di 73 saluran mengundi.

Mengulas lanjut, Mohd Yusla berkata walaupun pelbagai kritikan dilemparkan susulan pendirian tidak mahu duduk semeja dengan DAP itu, Onn Hafiz kekal konsisten dengan keputusannya.

“Walaupun banyak serangan selepas itu, Menteri Besar tetap tegas dengan pendirian tersebut dan kami berterima kasih kepada beliau dan seluruh rakyat Johor yang memberikan mandat kepada BN untuk terus memimpin negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata turut menyifatkan kemenangan itu sebagai amanah besar yang perlu diterjemahkan menerusi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

“Saya berharap, semangat kemenangan BN di Johor ini dapat diteruskan pada pilihan raya di negeri lain, ke Negeri Sembilan dan Melaka, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast