Onn Abu Bakar

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dakwaan berhubung kejadian ‘pengundi hantu’ di DUN berkenaan.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, gesaan tersebut dibuat selepas seorang pengundi mendakwa namanya telah dipangkah daripada senarai pengundi kerana direkodkan sudah mengundi, sekali gus menyebabkan dia tidak dibenarkan membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang hari ini.

Menerusi video yang dikongsikan, Onn berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas pengundi terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Senggarang.

“Pada kira-kira pukul 10.50 pagi tadi, seorang pengundi di SMK Senggarang tidak dapat mengundi selepas dimaklumkan bahawa namanya telah direkodkan sebagai sudah mengundi oleh individu lain.

“Justeru, saya memohon SPR memastikan semua warganegara, khususnya pengundi di DUN Senggarang, dapat menunaikan hak mereka.

“Keluar mengundilah sekarang dan pastikan undi saudara selamat serta tidak disalahgunakan oleh orang lain,” katanya menerusi video berkenaan.

Berdasarkan salinan laporan polis yang tular, pengundi terbabit mendakwa petugas SPR memaklumkan namanya telah dipangkah daripada senarai pengundi kerana sistem merekodkan bahawa dia telah mengundi ketika hadir di pusat mengundi di SMK Senggarang kira-kira pukul 10.50 pagi.

Bagaimanapun, pengadu menafikan pernah mengundi sebelum itu dan turut menafikan dakwaan dia telah membersihkan dakwat kekal pada jarinya seperti yang dimaklumkan oleh petugas SPR.

Menurut laporan polis itu lagi, pengadu membuat laporan kerana bimbang nombor kad pengenalannya telah disalahgunakan oleh individu yang tidak dikenali dan memohon agar siasatan segera dijalankan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast