KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki melarikan sebuah kereta jenis Honda Civic FD berwarna hitam bernombor pendaftaran VQJ6470 selepas berpura-pura mahu membelinya dalam kejadian di sebuah premis jualan kereta terpakai di Taman Sri Muda, Shah Alam, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.59 malam.
Menurut beliau, pengadu memaklumkan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki berbangsa India yang menyatakan hasrat untuk membeli kereta berkenaan.
“Pada kira-kira pukul 8.30 malam, suspek datang ke premis SN Automobil di Lot 35211, Kabin Jalan Harmoni, Persiaran Budiman, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam sebelum memilih Honda Civic FD tersebut.
“Suspek kemudian meminta kebenaran untuk memandu uji kereta itu dengan alasan mahu membuat pembelian secara tunai berjumlah RM30,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada awalnya pengadu enggan membenarkan suspek memandu uji kenderaan itu, namun akhirnya bersetuju selepas suspek memberi jaminan akan terus membuat pembelian dan urusan pertukaran hak milik sekiranya berpuas hati dengan keadaan kereta berkenaan.
Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan kenderaan tersebut dan gagal dikesan selepas itu.
Sarudin berkata, semakan pada hari ini mendapati kejadian itu turut tular di platform Threads sehingga meraih perhatian ramai dengan lebih 27,500 tontonan selain ratusan tanda suka, komen dan perkongsian.
Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Md. Anuar Md. Amilah di talian 019-2255597 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















