Para pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia yang menjayakan Program Service-Learning Malaysia – University for Society.

NILAI –  Lebih 80 pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjayakan Program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang berlangsung di Perpustakaan USIM pada 4 Julai 2026 baru-baru ini Dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat komuniti dan platform belia.

Bertemakan InspireINaQ #TheShababHub, program ini turut melibatkan sembilan mahasiswa serta dua pensyarah dari Institut Agama Islam Negeri Sultan Amai Gorontalo, Indonesia.

Sepanjang pelaksanaan program, seramai 521 orang komuniti daripada pelbagai latar belakang telah menerima manfaat melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh sembilan kumpulan pelajar.

Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, pelaksanaan program ini membuktikan komitmen pelajar dalam menghubungkan ilmu yang dipelajari di universiti dengan keperluan sebenar masyarakat.

Menurut beliau, konsep TheShababHub memperlihatkan bagaimana masjid boleh berperanan lebih luas sebagai pusat aktiviti komuniti, khususnya dalam membangunkan potensi belia melalui aktiviti sukarelawan, kebajikan, khidmat masyarakat serta pembinaan jaringan positif.

Beliau turut menegaskan, pendidikan tinggi pada masa kini tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik kuliah semata-mata.

“Para pelajar perlu cakna bahawa uiversiti, para pensyarah dan mahasiswanya turut memainkan peranan penting sebagai pemangkin perubahan sosial,” katanya.

Tambah beliau, SULAM merupakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan libatsama masyarakat.

Ia melatih mereka mencari penyelesaian melalui ilmu, kemahiran komunikasi dan pendekatan dakwah yang berkesan.

“SULAM menuntut kalian sebagai pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari bagi menangani cabaran sebenar masyarakat setempat melalui pemindahan ilmu dan aktiviti libatsama,” ujarnya.

Malah, pendekatan SULAM mampu membentuk pelajar memiliki kepekaan sosial, semangat kesukarelawanan dan kemahiran insaniah yang tinggi.

Beliau turut menekankan pelaksanaan SULAM di USIM perlu terus diangkat melalui Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (INAQ), selaras dengan falsafah pendidikan universiti.

Jelas beliau, kempen sosial yang dilaksanakan oleh pelajar bukan sekadar menggunakan teknik komunikasi moden, tetapi turut diterapkan dengan kefahaman ayat al-Quran, hadis serta perspektif Islam agar mesej yang disampaikan lebih menyeluruh dan bermakna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast