JOHOR BAHRU – Kegagalan Perikatan Nasional (PN) Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 didakwa kerana Pengerusinya, Datuk Dr Sahruddin Jamal tidak lantang dan gagal memainkan peranan berkesan dalam memperjuangkan isu-isu rakyat.
Jabatan Penyelaras Pemuda Parti Wawasan Negara Negeri Johor dalam satu kenyataan mendakwa, sepatutnya PN sebagai blok pembangkang perlu kedepan memperjuangkan masalah rakyat terutama dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, Johor sememangnya sebuah negeri yang maju, namun kelebihan tersebut masih belum dapat dinikmati secara menyeluruh oleh seluruh Bangsa Johor.
Jelas jabatan tersebut, masih banyak isu rakyat yang sepatutnya diperjuangkan oleh pihak pembangkang tetapi PN pimpinan Dr Sahruddin tidak ke depan menjuarainya.
“Sepanjang satu penggal yang lalu, Kerajaan Negeri Johor di bawah Barisan Nasional (BN) terus mendominasi pelbagai isu yang berkepentingan kepada rakyat.
“Sebaliknya, Datuk Dr Sahruddin yang mewakili PN hampir tidak kedengaran mahupun kelihatan di mata rakyat Johor, sehingga ramai yang tidak menyedari bahawa PN merupakan blok pembangkang di DUN Johor,” menurut kenyataan itu hari ini.
Jabatan itu memaklumkan, contohnya ketika Johor berdepan bencana banjir dan isu gangguan bekalan air, Dr Sahruddin selaku Pengerusi PN Johor tidak memainkan peranan sebagai payung alternatif kepada Bangsa Johor.
Malah tiada suara yang benar-benar menonjol dalam DUN dan Dr Sahruddin juga tidak kelihatan turun padang secara menyeluruh membantu mangsa banjir di seluruh negeri.
Keadaan tersebut dakwa jabatan berkenaan, secara tidak langsung menjauhkan nama PN daripada hati rakyat Johor.
“Pahit untuk diperkatakan, namun usaha yang minimum sekalipun gagal dilaksanakan dengan berkesan. Apatah lagi untuk meletakkan nama PN di hati Bangsa Johor. Johor mempunyai pendekatannya yang tersendiri.
“Budaya masyarakat Johor yang santun dan berbudi bahasa memerlukan pendekatan politik yang lebih berhikmah, bak kata pepatah, ‘bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak’,” jelas kenyataan itu lagi.
Ujarnya, penghakiman rakyat Johor dalam PRN Johor ke-16 bukan terletak semata-mata pada kepimpinan dan kempen sepanjang tempoh berkempen.
Justeru Bersatu yang menerajui blok pengimbang melalui PN wajar melihat kegagalan sendiri, menginsafi keadaan dan menilai semula segala kelemahan yang ada.
“Datuk Dr Sahruddin yang juga sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu (BPN) Negeri Johor, salah seorang ADUN pembangkang di Johor perlu mengakui kegagalan beliau dalam mengetengahkan isu-isu rakyat,” tambahnya.
Tegas jabatan itu lagi, andai benar perjuangan itu berlandaskan keikhlasan demi agama, bangsa dan tanah air, pihaknya menyeru Bersatu menghentikan budaya menyalahkan kepimpinan PN di peringkat Pusat.
“Ketika tewas di Sabah, mereka menyalahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Hari ini, apabila tewas di Johor, budaya menyalahkan pihak lain masih diteruskan.
“Jika keadaan ini terus berlarutan, nama PN juga akan terjejas akibat sikap dan budaya yang dibawa oleh Bersatu,” menurut jabatan itu lagi.
Jabatan itu menyatakan sudah tiba masanya untuk melakukan pembaharuan terhadap budaya politik seperti itu dengan membina Konsensus Nasional Baharu demi masa depan negara yang lebih baik.
Dalam PRN Johor ke-16, atas tiket PN, Bersatu tanding 16 kerusi, Pas 11 kerusi manakala Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) lima kerusi namun semuanya tewas.
Dr Sahruddin turut gagal mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya selain satu lagi kerusi Bersatu di DUN Endau dirampas UMNO.
Berdasarkan keputusan PRN Johor ke-16, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan manakala lapan lagi oleh Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette
















