TEHRAN – Iran mengecam gelombang terbaharu serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayahnya dengan mendakwa tindakan itu telah “menggagalkan segala usaha diplomasi” yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas tentera AS mengumumkan siri serangan baharu terhadap Iran pada hari Ahad, yang menurut Washington bertujuan “terus melemahkan” keupayaan Tehran menyerang kapal-kapal dagang di Selat Hormuz.
Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan menyifatkan serangan berkenaan sebagai tindakan kejam yang melanggar prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Serangan ganas ini bukan sahaja merupakan pencabulan terang-terangan terhadap prinsip asas Piagam PBB, malah turut mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Tehran turut mendakwa serangan tersebut telah menggagalkan segala usaha sejak beberapa bulan lalu untuk meredakan ketegangan dan mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat.
Menurut Iran, tindakan AS juga telah mencetuskan semula ketidakstabilan di Selat Hormuz serta mengganggu pelayaran perdagangan antarabangsa.
“Rejim AS telah menyebabkan kembalinya ketidakamanan di Selat Hormuz dan mengganggu perkapalan perdagangan antarabangsa dengan campur tangan secara terbuka ketika Iran sedang melaksanakan pengaturan yang diperlukan di selat itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Pemerintah Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan gelombang serangan terbaharu bermula pada pukul 9 malam GMT (5 pagi waktu Malaysia) pada hari Ahad.
Menurut CENTCOM menerusi platform X, Presiden Donald Trump mengarahkan serangan tersebut bagi memastikan pasukan Iran dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka. – Agensi
















