Asisten Komisioner Shamsudin Mamat.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an parah selepas dipercayai dipukul oleh dua lelaki tidak dikenali yang turut merakam kejadian itu sebelum melarikan diri di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner  Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.56 malam kelmarin.

Siasatan awal mendapati mangsa ketika itu sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC.

“Suspek yang identitinya masih belum dikenal pasti bertindak memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri dari lokasi.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata serta beberapa kecederaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast