Gambar yang tular di laman sosial threads menunjukkan seorang lelaki memerhati sesuatu di sebuah kediaman.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar universiti awam berusia lingkungan 20-an ditahan kerana disyaki melakukan perkara pelik di sebuah aparmen di Seksyen 7, Shah Alam pada Ahad lalu.

Suspek disyaki menghendap seorang wanita secara berulang kali serta mencuri kasut mangsa sebelum menghidunya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, tindakan itu susulan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di platform media sosial Threads.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada mangsa, seorang pelajar universiti awam berusia 22 tahun pada pukul 3.55 petang pada 12 Julai lalu.

“Siasatan mendapati mangsa mendakwa telah diganggu dan diekori berkali-kali oleh lelaki yang sama sejak April lalu ketika berada di tempat pengajian serta di kawasan kediamannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, suspek berjaya diberkas pada pukul 8.30 malam hari yang sama di sekitar Seksyen 7, Shah Alam.

Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian saringan awal air kencing turut didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di hadapan Majistret Mahkamah Shah Alam bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan menghendap (stalking) secara berulang kali yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Sabryna Taha di talian 014-5130450. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast