MELAKA – Rakyat di Melaka selepas ini boleh “mengepung” lembu berkeliaran sementara menunggu kehadiran pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan lanjut.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pendekatan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh penguatkuasaan terhadap haiwan ternakan yang dilepaskan sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, orang ramai bukan sahaja boleh merakam gambar atau video haiwan berkeliaran, malah membantu mengepung haiwan terbabit sementara menunggu PBT hadir mengambil tindakan.
“Kalau lembu itu berada di luar kawasan penternakan dan tidak mempunyai QR Tagging, rakyat boleh kepung, tak ada masalah, kemudian minta PBT datang tangkap.
“Kita nak bagi kuasa juga kepada rakyat untuk menjadi mata-mata kepada PBT supaya penternak tahu bukan penguat kuasa sahaja yang boleh mengambil tindakan, orang ramai juga boleh membantu.
“Tapi dengan syarat, lembu itu tidak ditagging dan berada di luar kawasan ladang atau penternakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Rosli Abdullah (BN- Kuala Linggi) pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Rosli bertanyakan apakah tindakan kerajaan negeri mengatasi isu haiwan-haiwan ternakan seperti lembu dan kambing yang memasuki taman perumahan dan kampung serta jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan.
Mengulas lanjut, Akmal (BN- Merlimau) berkata, sehingga Jun lalu, kira-kira 4,500 ekor lembu dan kerbau di Melaka telah dipasang QR Tag, dengan sasaran keseluruhan 32,000 ekor siap dipasang menjelang Disember ini.
Akmal berkata, penglibatan orang ramai sebagai “mata dan telinga” PBT diharap dapat menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan penternak supaya memastikan haiwan peliharaan mereka tidak dibiarkan berkeliaran.
“Kalau nak bela lembu, belalah dengan penuh tanggungjawab dan jangan biarkan lembu atau kerbau mengganggu dan menggugat ketenteraman orang lain,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi kelonggaran sehingga hujung tahun ini kepada semua penternak untuk mendaftarkan lembu dan kerbau masing-masing bagi pemasangan QR Tag secara percuma.
“Kalau masih ada yang berdegil dan enggan memasang QR Tag, bermula 1 Januari 2027 tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Menurutnya, sistem itu membolehkan pemilik ternakan dikenal pasti dengan lebih mudah apabila orang ramai mengimbas atau merakam QR Tag yang dipasang pada telinga haiwan sebelum membuat aduan kepada PBT.
“Sebelum ini orang tidak tahu lembu itu milik siapa dan akhirnya tiada siapa mengaku dan dengan QR Tag, kita boleh kenal pasti pemilik, lokasi kandang dan PBT boleh mengambil tindakan dengan lebih cepat,” katanya. – MalaysiaGazette
















