Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff selepas didapati bebas daripada sabitan dan hukuman bagi pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JULAI 2026.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan beliau dan tunangnya, Bella Astillah, bakal meneruskan perancangan untuk mendirikan rumah tangga selepas menerima restu daripada kedua-dua ibu bapanya sejurus Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan membebaskannya hari ini.

Menurut Syed Saddiq, perkara itu dibangkitkan ibu bapanya selepas beliau selesai melakukan sujud syukur sebaik prosiding berakhir.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai tarikh atau perancangan mengenai majlis perkahwinan mereka.

“Tadi, selepas saya selesai melakukan sujud syukur, ayah dan ibu sudah memberi isyarat positif supaya kami dapat meneruskan perancangan perkahwinan.

“Cuma untuk komen lanjut, mungkin boleh tanya Bella,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui di lobi Istana Kehakiman.

Tunang kepada ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas didapati bebas daripada sabitan dan hukuman bagi pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JULAI 2026.

Dalam pada itu, Syed Saddiq meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada Bella yang disifatkan setia berada di sisinya sepanjang enam tahun berdepan proses perundangan.

Katanya, sokongan yang diberikan penyanyi dan pelakon itu amat bermakna kerana memilih untuk terus bersama beliau ketika berdepan tempoh paling sukar dalam hidup.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya yang tetap setia bersama.

“Bukan mudah kerana sebelum ini saya pesalah. Orang ramai mungkin terlupa, tetapi sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, saya masih berstatus pesalah.

“Namun, dia tetap bersama saya. Alhamdulillah, hari ini saya tidak lagi perlu berjalan dengan beban itu. Saya amat menghargai segala pengorbanannya,” ujarnya emosi.

Terdahulu, Bella menjadi antara individu terawal tiba di Istana Kehakiman sekitar jam 7.30 pagi bagi memberikan sokongan kepada Syed Saddiq.

Ketika ditemui media sebelum prosiding bermula, Bella yang hadir bersama ahli keluarga hanya berkata beliau sentiasa mendoakan yang terbaik buat tunangnya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast