Shafry (tiga kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian dalam Program Hari Kesejahteraan IBD (IBD Wellness Day) 2026 di Institut Pembangunan Bioproduk UTM, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Institut Bioproduk (IBD) menyasarkan untuk membantu dan membimbing 200 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan menjelang 2030.

Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, langkah strategik itu bertujuan memperkasakan usahawan PKS daripada pelbagai aspek komersial termasuk lonjakan hasil jualan, peningkatan kualiti produk serta produktiviti syarikat.

“Tujuannya untuk memperkasakan usahawan PKS daripada pelbagai aspek komersial termasuk lonjakan hasil jualan, peningkatan kualiti produk serta produktiviti syarikat.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 1998, IBD telah berjaya melahirkan ramai usahawan tempatan yang berjaya mengkomersialkan produk hasil penyelidikan makmal ke pasaran luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Hari Kesejahteraan IBD (IBD Wellness Day) 2026 di Institut Pembangunan Bioproduk UTM, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah IBD UTM, Prof Madya Ir Ts Dr Rosnani Hasham.

Pada majlis tersebut menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Pelesenan Teknologi (TLA) antara UTM dengan syarikat Trinovate Lab Group Sdn Bhd bagi membolehkan pengeluaran serta pemasaran produk Hair Tonic ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, sesi Pertukaran Dokumen Perjanjian Penyelidikan Kolaboratif (RCA) antara IBD UTM dengan Syarikat Phyto Biznet Sdn Bhd turut dilaksanakan bagi memperkukuh penyelidikan bersama dalam pembangunan bioproduk dan kosmetik berasaskan sumber semula jadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah mencapai kira-kira 10 peratus daripada sasaran keseluruhan dan graf peningkatan itu menunjukkan perkembangan positif setiap tahun.

Malah katanya, produk komersial berasaskan teknologi IBD ini sudah diguna pakai banyak syarikat di sekitar kawasan koridor industri negeri seperti di Taman Universiti, Kulai Indah dan Pasir Gudang untuk pasaran masing-masing.

Mohd Shafry berkata, UTM kini dalam perancangan aktif untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi pembiayaan dan kerajaan bagi membantu usahawan bimbingannya menembusi pasaran yang lebih luas.

Katanya, antara agensi yang dikenal pasti termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Tekun Nasional (Tekun), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank serta pusat penyelidikan berkaitan bagi penyediaan dana, geran dan pinjaman perniagaan.

“Kerjasama erat ini penting supaya kita dapat membentangkan potensi produk tempatan ke peringkat tertinggi seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Ekonomi serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) negara.

“Melalui pengukuhan aspek penjenamaan (branding) dan kualiti, kita yakin produk herba warisan Melayu seperti yang berasaskan tongkat ali, kacip fatimah, serai wangi dan nanas mampu bersaing di pasaran antarabangsa seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan China,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kejayaan agenda pembudayaan keusahawanan universiti itu yang menyaksikan tiga syarikat pemula (startup) diasaskan mahasiswa UTM berjaya menembusi senarai berprestij ‘Forbes 30 Under 30 Asia’ dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ujarnya, syarikat tersebut melibatkan RunCloud yang memfokuskan teknologi digital, selain dua lagi syarikat berasaskan teknologi robotik serta kecerdasan buatan (AI).

“UTM kini merangka strategi agar setiap institusi penyelidikan di universiti ini mampu melahirkan kumpulan mahasiswa yang berupaya membina perniagaan sendiri berteraskan teknologi makmal.

“Hasil inovasi terbaharu dalam bidang AI dan robotik ini juga dijadual dipamerkan dalam satu acara khas di Kuala Lumpur pada Oktober atau November depan bagi membuktikan keupayaan produk inovasi tempatan ke peringkat global,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast