Seramai 13 mahasiswa Kursus Pengurusan Pertanian Lestari, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), menyertai lawatan akademik ke Cameron Highlands, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 mahasiswa Kursus Pengurusan Pertanian Lestari, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), menyertai lawatan akademik ke Cameron Highlands bagi mendalami amalan pertanian baik serta memahami peranan sains dan teknologi dalam menyokong keterjaminan makanan negara.

Lawatan yang diketuai oleh pensyarah kursus, Dr. Rosazlin Abdullah, bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai pengurusan pertanian tanah tinggi, pengeluaran tanaman secara lestari serta kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam sistem agromakanan negara.

Sepanjang lawatan, mahasiswa mengunjungi Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands dan sebuah ladang teh bagi melihat sendiri amalan pertanian yang dilaksanakan di lapangan. Mereka turut berpeluang menyertai aktiviti penuaian tomato dan didedahkan kepada konsep Amalan Pengurusan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management, IPM) sebagai salah satu komponen penting dalam Amalan Pertanian Baik (MyGAP).

Selain itu, mahasiswa menjalankan tinjauan lapangan bagi menilai tahap pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (MyOrganic).

Aktiviti tersebut memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan kaedah penyelidikan lapangan serta memahami persepsi pengguna terhadap amalan pertanian yang selamat dan lestari.

Menurut Rosazlin, pengalaman pembelajaran di lapangan membolehkan mahasiswa menghubungkan teori yang dipelajari di universiti dengan amalan sebenar industri pertanian.

“Keterjaminan makanan bukan hanya bergantung kepada peningkatan hasil pertanian, tetapi juga kepada pengurusan yang berasaskan sains, penggunaan teknologi yang sesuai serta pelaksanaan Amalan Pertanian Baik.

“Pendedahan seperti ini penting dalam melahirkan graduan yang memahami cabaran sektor agromakanan dan mampu menyumbang kepada pembangunan pertanian negara,” katanya.

Beliau berkata, lawatan akademik berasaskan pengalaman seperti ini turut memperkukuh kemahiran pemerhatian, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah dalam kalangan mahasiswa, sekali gus menyokong usaha Universiti Malaya melahirkan graduan yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran sektor pertanian masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast