SFZ Forest City di Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Forest City tidak akan bertolak ansur serta memandang serius isu berhubung operasi Network School di Forest City, Gelang Patah yang didakwa disertai warga Israel.

Forest City dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menyokong sepenuhnya pendirian kerajaan Malaysia dalam menangani isu berkenaan.

“Kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan Johor sebagai pangkalan kepada sebarang ideologi, gerakan atau aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta boleh menjejaskan kedaulatan Johor dan negara.

“Forest City bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan dalam sebarang siasatan,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/07/15/forest-city-266-warga-asing-yang-diperiksa-ada-dokumen-sah-kp-imigresen/

Forest City juga komited mengemukakan semua dokumen berkaitan yang diperlukan bagi membantu melancarkan siasatan dan mempercepat proses penentuan fakta secara menyeluruh, tepat serta berkesan.

“Forest City bersedia memberikan kerjasama penuh dan segala bantuan yang diperlukan kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan,”maklum kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan itu juga, Forest City sekali lagi menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan premis, ketidakpatuhan terhadap peraturan imigresen atau apa-apa aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam serta kepentingan negara.

“Sekiranya pihak berkuasa mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan imigresen, syarat pelesenan, penggunaan tanah atau perjanjian, Forest City akan melaksanakan sepenuhnya hak-haknya di sisi undang-undang dan kontrak.

“Forest City kekal komited melaksanakan tanggungjawab, pematuhan dan ketelusan selaras dengan undang-undang Malaysia demi memastikan keselamatan komuniti, melindungi kepentingan Johor serta mempertahankan kedaulatan negara,” tambah kenyataan itu.

Semalam media melaporkan Kerajaan Negeri Johor menggesa KDN dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan berhubung operasi Network School di Forest City yang didakwa disertai warga Israel.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata warga berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program tersebut yang sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

Kelmarin, tular beberapa hantaran termasuk video di Threads yang mempersoalkan tujuan sebenar Network School beroperasi di Forest City, yang didakwa disertai warga asing termasuk Israel.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast