Kumaran menang di DUN Bukit Batu dengan majoriti 174 undi dengan secara keseluruhan mendapat 16,899 undi dalam pertembungan lima penjuru.

KULAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu, R Kumaran akan berpindah ke Bukit Batu dalam masa terdekat.

Bendahari MIC Johor itu berkata, keputusan tersebut sebagai menunaikan janji yang dibuat sebelum ini semasa berkempen.

“Apa khabar Keluarga Bukit Batu? Dalam masa terdekat ini saya akan tunaikan janji saya untuk berpindah dan duduk di dalam kawasan Bukit Batu.

“Semoga kita semua diberkati dan sentiasa dipermudahkan segala urusan. Lepas saya duduk sini bolehlah kita lepak lepak santai ada port lepak best ke kat sini,” tulisnya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya.

Pada PRN lalu Kumaran menang dengan majoriti 174 undi dengan secara keseluruhan mendapat 16,899 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Beliau menewaskan penyandang, Arthur Chiong Sen Sern (Pakatan Harapan) yang mendapat 16,725 undi, G Tamili (Parti Bersama Malaysia) 821 undi, M Premanand (Parti Ikatan Demokratik Malaysia-MUDA) 387 undi dan Datuk Kamaruzaman Ali (Bebas) 599 undi.

Calon Barisan Nasional N.51 Bukit Batu, R K Kumaran menyantuni peniaga dan pengunjung sempena kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Pasar Malam Taman Manis, Kulai, Johor. Foto SADIQ SANI, 30 JUN 2026.

Sementara itu, dalam ruangan komen, netizen sudah mula mengemukakan masalah di kawasan mereka untuk diselesaikan.

“YB settlekan kesesakan trafik di kelapa sawit, ada kemalangan setiap hari selain perlukan 40 minit nak sampai ke Kulai. Turunlah padang pada waktu pagi dan (semasa) balik kerja untuk tengok sendiri.

“Jangan buat lagi kelapa sawit ketinggalan zaman,” komen Djkarna Subra.

Muhd Alif pula menulis: “Mohon YB (Yang Berhormat) selesaikan masalah perlarian yang ada kat Kulai nie…”

Abel Yazed pula meminta Taman Putri berdekatan bandar Kulai ditambah baik.

“YB tolong upgrade taman riadah Taman Putri Nampak agak teruk sikit dan harap ada penambahan alatan senaman utk warga Tmn Putri jaga kesihatan.”

Sementara Miza Ezari Imran pula mengingatkan Kumaran tentang papan tanda.

“YB, kalau nak letak (papan tanda), letaklah dalam Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan,tak perlu letak Bahasa Mandarin, takkan Cina tak tahu Bahasa Melayu, kalau warga negara Malaysia mesti tahu berbahasa Melayu,kalau nak letak bahasa tulisan Cina, letak sekali Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris,dll..”- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast