GEORGE TOWN – Modus operandi jenayah terancang kini berubah apabila sindiket beroperasi seperti sebuah organisasi korporat yang sistematik, menggunakan teknologi moden dan rangkaian antarabangsa bagi memaksimumkan keuntungan haram.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sindiket jenayah kini beroperasi tanpa menghiraukan sempadan negara, malah mampu mengembangkan operasi ke pelbagai negara dalam tempoh yang singkat.
“Seorang penjenayah boleh berada di satu negara, menyerang mangsa di negara lain, mencuci wang di negara berbeza dan menggunakan infrastruktur digital yang dihoskan di beberapa negara lain sebelum menghilangkan jejak.
“Jenayah adalah sebuah entiti perniagaan. Mereka tidak perlu mematuhi konsep kedaulatan, prosedur demokrasi mahupun institusi politik kerajaan dan mereka mempunyai peraturan sendiri.
“Mereka juga kini mengupah syarikat luar untuk menjalankan kerja-kerja tertentu seperti pengaturcaraan dan pembangunan teknologi, sekali gus mewujudkan ekosistem jenayah yang semakin kompleks,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) 2026 bertemakan Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini.
Mohd Shuhaily berkata, antara perkembangan paling membimbangkan adalah kemunculan sindiket penipuan yang beroperasi sebagai sebuah organisasi perniagaan lengkap dengan pembiaya, pakar teknologi, pengatur cara komputer dan rangkaian operasi yang tersusun.
Katanya, pusat penipuan atau ‘scam centre’, ladang scam, perisian hasad (malware), teknologi pengklonan suara berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan ‘deepfake’ menjadi antara instrumen utama yang dimanfaatkan sindiket jenayah bagi memperdaya mangsa.
Beliau berkata, perkembangan itu menyebabkan sindiket jenayah lebih pantas menyesuaikan diri dengan teknologi berbanding agensi kerajaan yang perlu mematuhi pelbagai prosedur dan peraturan.
Dalam pada itu, katanya, bidang kriminologi seharusnya berubah seiring evolusi jenayah dengan memberi penekanan kepada usaha menjangka ancaman baharu, bukannya hanya mengkaji jenayah yang telah berlaku.
Beliau berkata, penyelidikan masa depan perlu merangkumi bidang seperti analisis mata wang kripto, penyulitan data, pengubahan wang haram dan keselamatan siber bagi membantu penggubal dasar serta agensi penguat kuasa menangani ancaman jenayah moden dengan lebih berkesan.
“Kerjasama antara kerajaan, ahli akademik, institusi penyelidikan dan agensi penguatkuasaan turut menjadi elemen penting kerana tiada sebuah negara mampu menangani jenayah rentas sempadan secara bersendirian.
“Jenayah akan terus berevolusi. Persoalannya, adakah institusi kita juga akan berevolusi seiring perubahan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















