MELAKA – Ruang rundingan Barisan Nasional (BN) dan DAP berhubung keputusan parti itu menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri sudah tertutup selepas semua surat peletakan jawatan diserahkan secara rasmi semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf berkata, kerajaan negeri telah menerima surat peletakan jawatan daripada wakil DAP sejurus selesai sidang media tergempar parti itu, sekali gus menyebabkan kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berubah hari ini.

“Kita terima semalam, selepas habis sidang media. Mereka (DAP) terus hantar surat dan  pengunduran (DAP) dalam kerajaan, diterima pada kadar segera.

“Itu sebab perdana menteri minta berunding, saya kata dah tak boleh berunding sebab mereka dah serah semua surat,” katanya pada sidang media selepas hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Ditanya adakah BN Melaka sedia membuka semula pintu rundingan susulan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari bahawa PH akan bermesyuarat esok bagi menentukan pendirian gabungan itu, beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan semasa.

“Itu kita tunggu dan lihat, saya tak berani nak cakap sama ada ya atau tidak. Apa dia nak buat, tapi dalam kesan yang dibuat oleh DAP mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan kerajaan ini, kita dah terima.

“Macam mana pula dia nak berundur (tarik balik), tapi terserahlah pada PH. Kita juga menerima warkah daripada Parti Keadilan yang mengatakan dia tak, tidak hendak dan mungkin tidak bersetuju dengan langkah yang dibuat oleh DAP,” katanya.

Ditanya adakah kemelut itu akan menjejaskan persediaan Melaka sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan sebelum ini untuk menghadapi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini, Ab Rauf berkata, setiap parti perlu menilai kekuatan sendiri tanpa perlu saling menyalahkan.

“Kita kena ada suasana politik yang matang. Kenapa kita nak bergaduh sampai rumah kita roboh? Kita pandai-pandailah membawa haluan masing-masing.

“Semua parti tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing jadi kena ukur baju di badan sendiri kerana kita tahu di mana kita kuat dan di mana kita lemah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast