KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya terus memberi kepercayaan kepada parti itu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, segala usaha yang telah dibina bersama di negeri itu tidak seharusnya dibiarkan terhenti di pertengahan jalan.
“Alhamdulillah, saudara Aminuddin Harun atau Tok Min telah memimpin Negeri Sembilan sejak 2018 dengan amanah, sederhana dan berintegriti.
“Hasil keserasian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, banyak usaha pembangunan telah dilaksanakan demi manfaat rakyat, dan masih banyak lagi yang perlu kita teruskan.
“Dengan penuh rasa rendah diri, saya merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar terus memberikan kepercayaan kepada HARAPAN di bawah pimpinan Tok Min. Jangan biarkan usaha yang telah kita bina bersama ini terhenti di pertengahan jalan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Menurut Anwar, mandat daripada rakyat itu adalah demi memastikan Negeri Sembilan terus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan bekerja untuk rakyat.
“Insya-Allah, HARAPAN akan terus memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih makmur dan Sejahtera,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada Sabtu ini, dan pengundian awal pada 28 Julai.
PRN Negeri Sembilan 2026 membabitkan pertandingan di 36 kerusi DUN. – MalaysiaGazette















