KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam situasi getir dan sukar untuk mengulang talian hayat politik mereka seperti mana yang disaksikan pada tahun 2023.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, momentum kini sebaliknya beralih arah dan memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas parti itu kembali berjaya menyatukan ahli-ahlinya menerusi wadah ‘Rumah Bangsa’.
“Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan wujudnya kelompok dalam UMNO yang menjauhkan diri serta lebih mesra kepada PN selain ada yang dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung dan dipecat.
“Kumpulan berkenaan kini dilihat kembali ke pangkuan UMNO ekoran ketiadaan platform alternatif yang mampu memenuhi cita-cita politik mereka,” katanya menerusi program SKOP MG bertajuk ‘PRN Negeri Sembilan: Pertahan Kubu atau Tukar Kerajaan? terbitan MalaysiaGazette.
Tambahnya, kelompok itu juga yang sudah tidak ada wadah yang boleh menampung cita-cita politik, akhirnya kembali ke ‘Rumah Bangsa’ (UMNO).
“Ini sekali gus memberi momentum besar kepada UMNO, malah dalam konteks di Johor, kita dapat lihat kuasa tawar-menawar PN sebenarnya sudah terkeluar dan tersasar.
“Kita juga melihat kuasa Pas di sana juga langsung tidak mempunyai wibawa,” katanya lagi.
Sementara itu, mengenai dinamika politik di Negeri Sembilan, Awang Azman mengingatkan sebarang rumusan menyeluruh tidak boleh dibuat secara melulu.
“BN mewakili keseluruhan suara memandangkan parti itu mempunyai kelompok-kelompok tertentu.
“Ia juga sebagai ruang terbaik buat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengukuhkan semula pengaruhnya.
“Keupayaan Tok Mat untuk kembali meramaikan ‘Rumah Bangsa’ dan memaafkan kelompok-kelompok ini dilihat sebagai satu peluang keemasan ke arah penyatuan orang Melayu.
“Langkah ini juga menjadi alat yang sangat strategik untuk beliau kembali berpengaruh dan memperkasakan kedudukannya dalam UMNO,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, pada majlis pengumuman calon, BN hanya akan bertanding di 25 kerusi dewan undangan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Mohamad ketika mengumumkan senarai itu berkata, 11 lagi kerusi lagi akan diumumkan kemudian selepas ia dimuktamadkan.
Beliau berkata, akan ada pengumuman lain untuk kerusi yang masih kosong itu kerana ketika ini, BN ada membuat persefahaman dengan ‘kawan’ yang boleh dipercayai pada PRN kali ini.
Kerusi-kerusi tersebut adalah Paroi, Serting, Sikamat, Bukit Kepayang, Ampangan, Mambau, Lukut, Gemas, Klawang, Lobak, dan Bagan Pinang. – MalaysiaGazette
















