Calon-calon MCA pada PRN Negeri Sembilan. - Foto: MCA

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh calon MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menyeru pengundi negeri itu memberikan sokongan dan memastikan mandat yang jelas buat Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri yang bertanggungjawab, berkesan dan stabil.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, hanya dengan kestabilan politik, Negeri Sembilan dapat melangkaui pertelingkahan politik dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan taraf hidup rakyat serta mewujudkan peluang yang lebih baik untuk setiap keluarga.

Tambahnya, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebaliknnya merupakan penentu kepada hala tuju Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang sentiasa fokus mentadbir, menunaikan komitmen serta menyelesaikan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka, bukannya kerajaan yang leka dengan pertikaian politik berpanjangan dan konfrontasi kepartian,” katanya.

Tujuh calon MCA itu terdiri daripada Siow Kong Choon (Chennah); Ah Chong (Bahau); Alan Lai (Nilai); Leaw Kok Chan (Temiang); Yap Siok Moy (Rahang); Ah Pau (Chuah) dan Koh Kim Swee (Repah).

Menurut mereka, PRN Johor yang baru berakhir mencerminkan kecenderungan rakyat yang semakin mengutamakan kestabilan politik, tadbir urus yang bertanggungjawab serta penyelesaian yang praktikal.

Katanya, kestabilan bukanlah matlamat semata-mata, tetapi merupakan asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, peningkatan keyakinan pelabur, penciptaan pekerjaan berkualiti serta pembangunan infrastruktur yang berterusan.

Ujarya, kerajaan yang stabil memberi keyakinan kepada perniagaan untuk melabur, membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda dan memastikan dasar-dasar pembangunan dilaksanakan secara konsisten demi manfaat semua.

“Sepanjang kempen PRN ini, BN–MCA kekal komited untuk memupuk budaya politik yang matang, rasional dan berpaksikan dasar.

“Kami akan memberi tumpuan kepada penyelesaian yang praktikal, tadbir urus yang baik serta menunaikan janji-janji kami, bukannya terlibat dalam sandiwara politik atau retorik yang memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, Negeri Sembilan berada pada kedudukan yang strategik untuk muncul sebagai salah satu pusat pertumbuhan utama di Semenanjung Malaysia.

Katanya, dengan lokasi yang strategik serta asas yang kukuh dalam sektor pembuatan, logistik, pelancongan dan pertanian, negeri itu mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, mempercepatkan pembangunan ekonomi digital serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui dasar yang berpandangan jauh, infrastruktur berkualiti dan pembangunan modal insan.

Sehubungan itu, ujar mereka, sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir, wakil rakyat MCA akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri BN bagi menaik taraf jalan raya dan infrastruktur pengangkutan, memperkukuh sistem perparitan serta mitigasi banjir, menambah baik pengangkutan awam dan kemudahan awam, mempertingkatkan perancangan bandar serta menarik industri bernilai tinggi dan pelaburan berkualiti.

“Bersama-sama, kita akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan menggalakkan anak-anak muda berbakat Malaysia membina masa depan mereka di Negeri Sembilan,” katanya.

Tambahnya, MCA akan terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat, komuniti perniagaan, institusi pendidikan serta masyarakat majmuk di Malaysia.

Ujarnya, parti itu juga akan terus membawa suara dan aspirasi rakyat, memperjuangkan pembangunan yang adil dan seimbang serta memastikan manfaat kemajuan ekonomi dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di seluruh negeri.

Katanya, PRN kali ini turut memberikan Negeri Sembilan peluang untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan tujuan yang jelas.

“Justeru, kami dengan penuh ikhlas menyeru setiap pengundi agar memberikan BN mandat yang jelas untuk mentadbir supaya kita dapat bersama-sama mewujudkan kestabilan, memperkukuh ekonomi, meningkatkan taraf hidup rakyat serta membina Negeri Sembilan yang lebih makmur, progresif dan selesa didiami untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast