KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai tarikh pernikahan antara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, dan penyanyi serta pelakon Bella Astillah, 32, akan diumumkan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Syed Saddiq ketika muncul dalam podcast BASScast tidak mendedahkan tarikh sebenar kepada umum buat masa ini.
Menurutnya, keputusan untuk merahsiakan tarikh tersebut bukan bermaksud mahu menyembunyikan berita gembira itu sebaliknya mahu memastikan urusan pemberitahuan kepada keluarga besar dan rakan-rakan rapat berjalan mengikut prosedur yang sewajarnya.
“Alhamdulillah, pihak keluarga terdekat termasuk ibu bapa serta adik-beradik kami sudah mencapai kata sepakat mengenai tarikh tersebut.
“Kami tidak mahu terburu-buru mengumumkan kepada orang ramai sekarang kerana kami perlu menghormati proses dan tatacara keluarga terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff selepas didapati bebas daripada sabitan dan hukuman bagi pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JULAI 2026. (Gambar fail)Terdahulu, Syed Saddiq pernah memberikan bayangan bakal menamatkan zaman bujang sebelum akhir tahun ini setelah mendapat restu sepenuhnya daripada ibu bapanya.
Pasangan itu telah mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam satu majlis tertutup yang dihadiri oleh keluarga terdekat.
Dalam perkembangan sama, Bella memberitahu, perjalanan menuju hari bahagia mereka akan turut dikongsi bersama peminat melalui platform televisyen.
Menurut pelakon itu, hak penyiaran majlis perkahwinan mereka telah pun diikat menerusi satu kontrak eksklusif bersama stesen televisyen, Astro.
“Sebenarnya ramai yang belum tahu bahawa hak penyiaran majlis perkahwinan kami adalah tertakluk di bawah kontrak rasmi bersama pihak Astro.
“Justeru, saya berharap para peminat dapat terus mengikuti sebarang perkembangan terkini mengenai hari bahagia kami melalui saluran serta platform media sosial rasmi Astro dari semasa ke semasa,” ujar Bella. – MalaysiaGazette
















