JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu tiga premis yang disyaki menjual jersi bola sepak tiruan di daerah ini dan Kota Tinggi semalam, dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM135,000.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, operasi itu dijalankan bagi membanteras kegiatan penjualan jersi tiruan sempena musim kejohanan Piala Dunia 2026 hasil risikan serta aduan yang diterima daripada orang awam.
“Pemeriksaan mendapati premis terbabit menawarkan pelbagai jenis jersi pasukan bola sepak yang memaparkan cap dagangan beberapa jenama terkenal tanpa kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar.
“Hasil pemeriksaan dan pengesahan awal oleh wakil pengadu mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan penguat kuasa menyita sebanyak 2,669 helai jersi daripada pelbagai jenama terkenal yang dipercayai menggunakan cap dagangan secara salah bagi tujuan perdagangan.

Katanya, tiga lelaki warga tempatan yang merupakan pemilik dan penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam pengurusan operasi perniagaan berkenaan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau dipenjarakan maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, hukuman boleh meningkat kepada denda RM20,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula, denda maksimum ialah RM15,000 bagi setiap barangan tiruan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM30,000 bagi setiap barangan tiruan bagi kesalahan berikutnya.
Lilis Saslinda berkata, KPDN Johor akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan yang melanggar hak harta intelek.
Beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi kementerian bagi membanteras kegiatan itu.- MalaysiaGazette
















