Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Tindakan drastik dan tegas perlu diambil bagi menangani insiden pelajar terjatuh dari bangunan sekolah.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat gesaan tersebut susulan insiden terbaharu pelajar terjatuh di bangunan sekolah yang pernah meragut nyawa Zara Qairina Mahathir.

“Insiden pelajar jatuh bangunan sekolah yang sama dengan sekolah lokasi Tragedi Zara Qairina adalah suatu yang amat menyedihkan dan membimbangkan.

“Perlu diambil tindakan drastik dan tegas menangani insiden ini,” katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook, malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/07/17/satu-lagi-kes-murid-terjatuh-bangunan-di-sekolah-zara-qairina/

Dalam pada itu, ruangan komen hantaran Asyraf Wajdi mendapati warga net turut menggesa tindakan sewajarnya diambil bagi mengatasi masalah ini termasuk meningkatkan kawalan terhadap pelajar.

“Pasang CCTV di sekolah dan tempat berisiko sekitar sekolah dan tempat parkir. Selesaikan masalah ini, kenapa susah sangat ini?” kata Nik Adrian.

“Buatlah jeriji dan tingkap keselamatan di aras dua ke atas. Walaupun tak cantik tetapi keselamatan lebih terjamin,” kata pemilik akaun Alkhalaf Ents pula.

Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah terbabit, 15 Julai lalu.

Kejadian itu berlaku kurang dua hari sebelum genap setahun tragedi yang menimpa Zara Qairina di sekolah yang sama.

Jabatan Pendidikan Sabah dalam kenyataannya mengesahkan terdapat seorang pelajar terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah.

Bagaimanapun, jabatan tersebut tidak mendedahkan nama sekolah terbabit susulan insiden berkenaan adalah isu sensitif.

Menurut JPN Sabah, mangsa tidak mengalami kecederaan serius namun dimasukkan ke hospital.

Tambahnya, siasatan berhubung insiden tersebut sudah dimulakan dan dapatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah atau buli dalam kejadian berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast