NILAI – Perikatan Nasional (PN) kini dilihat ramai sebagai sebuah gabungan yang sudah menjadi “parti toksik” susulan cara kepimpinan Pas menguruskan hubungan antara parti komponen, dakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, persepsi itu timbul selepas Pas didakwa membuat keputusan secara unilateral tanpa menghormati kedudukan parti-parti lain dalam gabungan tersebut.
“Ramai orang kata Perikatan Nasional sudah jadi toksik dan sudah lari daripada asas perjuangannya yang sebenarnya,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon Bersatu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Muhyiddin mendakwa Pas bertindak seolah-olah PN adalah milik parti itu semata-mata apabila membuat rundingan dan keputusan tanpa melibatkan Bersatu sebagai parti pengasas gabungan.
“Mereka mengadakan perundingan dengan Barisan Nasional tetapi tidak ada perundingan dibuat sesama kita dalam PN. Ini bukan soal Pas sahaja, ini soal Perikatan Nasional.
“Semua parti sepatutnya duduk berbincang bersama dan membuat keputusan secara bersama, bukannya Pas bertindak seolah-olah PN ini milik mereka,” katanya.
Beliau turut mendakwa beberapa kenyataan pemimpin Pas sebelum ini menimbulkan kemarahan pengundi, sekali gus menjejaskan imej PN pada Pilihan Raya Negeri Johor.
Menurutnya, walaupun pengundi tidak mempunyai masalah dengan Bersatu, penggunaan logo PN menyebabkan kemarahan terhadap Pas turut diterjemahkan kepada semua calon gabungan itu.
“Saya percaya orang Johor tidak marah Bersatu. Tetapi apabila kita bertanding menggunakan logo PN, mereka lihat semua sama. Bila mereka tidak suka Pas, mereka juga tidak memilih kita.
“Akhirnya kita dapat telur kosong, Pas pun kosong dan semua yang lain pun kosong,” katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin mempertahankan keputusan Bersatu bertanding menggunakan lambang parti sendiri pada PRN Negeri Sembilan bagi membolehkan pengundi membezakan perjuangan parti itu daripada persepsi negatif terhadap PN.
Dalam ucapan sama, Muhyiddin berkata parti itu akan membentuk satu gabungan baharu dengan parti-parti lain selepas PRN Negeri Sembilan.
Muhyiddin berkata antara parti yang akan membentuk gabungan baharu itu termasuk parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Urimai.
“Lepas PRU Bersatu tak keseorangan lagi, Kita akan bentuk satu gabungan hebat selepas PRN ini,waktu saya tubuhkan Perikatan Nasional (PN) saya sudah banyak pemimpin datang,
“Dalam IPR yang nyata kesediaan duduk bincang tentang apa konsep kerjasama yang kita nak bentuk dalam kurang satu tahun,supaya kita dapat hadapi PRU akan datang dengan kekuatan baharu kita,”katanya. – MalaysiaGazette
















