JOHOR BAHRU – Seorang remaja perempuan Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya, awal bulan ini.

Tertuduh, Nor Aishahkila Hussein, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, remaja perempuan itu telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dengan cara mencampakkan bayi tersebut melalui tingkap sehingga jatuh ke lorong di bawah bangunan dan menyebabkan kematiannya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bilik hotel di tingkat dua di Jalan Idaman 9/1,

Business Presint 8, Taman Nusa Idaman, di sini pada pukul 1.28 pagi, pada 5 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap remaja perempuan tersebut dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan di Penjara Simpang Renggam, Kluang sehingga kes disebut semula.

Mahkamah menetapkan 18 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, portal ini melaporkan remaja perempuan terbabit ditahan setelah disyaki membuang janin yang baru dilahirkannya melalui tingkap dari tingkat dua tandas sebuah hotel di Bukit Indah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, M Kumarasan berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan janin yang dibungkus dalam plastik hitam di sebuah lorong di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah pada pukul 2.39 pagi, 5 Julai lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan janin kira-kira pukul 4 pagi hari yang sama dan wanita terbabit di sebuah hotel di Bukit Indah.

Tambahnya, wanita terbabit ditahan reman selama 14 hari sehingga esok mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast