Calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad (kanan), bersama calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah (tengah) dan calon Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail (kiri), bergambar selepas pengumuman calon N.13 Sikamat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Penamaan Calon Majlis Bandaraya Seremban. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 JULAI 2026.

SEREMBAN – Bekas kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan kerusi N.13 Sikamat bakal menyaksikan saingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan antara calon Pakatan Harapan (PH), Bersatu dan Parti Wawasan Negara.

Kerusi yang sebelum ini dianggap kubu kuat PH itu akan ditandingi pengganti penyandangnya, Nor Azman Mohamad dan dicabar Datuk Tun Faisal Ismail (Bersatu) serta Datuk Razali Abu Samah yang bertanding atas tiket Parti Wawasan Negara.

Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.13 Sikamat, Datuk Masri Razali yang menerima borang pencalonan daripada tiga individu tersebut tanpa sebarang penolakan selepas pusat penamaan calon di Majlis Bandaraya Seremban Forest Heights di sini ditutup jam 10 pagi tadi.

Pertembungan tiga penjuru kali ini mendapat perhatian kerana ia merupakan pilihan raya pertama di Sikamat tanpa penyandang terdahulu, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memilih untuk bertanding di kerusi lain selepas hampir dua dekad mewakili kawasan berkenaan.

Perubahan itu membuka lembaran baharu kepada pengundi untuk menentukan wakil rakyat yang bakal meneruskan agenda pembangunan di kawasan tersebut.

Nor Azman yang mewakili PKR membawa harapan PH untuk mempertahankan penguasaan di Sikamat dengan kempen dijangka memberi penekanan kepada kesinambungan pembangunan, kebajikan rakyat serta kestabilan pentadbiran negeri.

Sementara itu, Tun Faisal yang juga Ketua Penerangan Bersatu membuat penampilan sulung di Negeri Sembilan apabila dipilih bertanding di Sikamat.

Pencalonannya dilihat sebagai usaha Bersatu memperkukuhkan pengaruh parti itu di kawasan bandar dan separa bandar selain menawarkan alternatif kepada pengundi.

Bagi Razali pula, bekas Timbalan Ketua Polis Melaka itu tampil dengan pendekatan mendekati pengundi secara langsung bagi memahami isu dan keperluan setempat.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat mempunyai komposisi pengundi yang pelbagai dan sering menjadi antara kerusi strategik dalam kawasan Parlimen Seremban.

Dengan latar belakang pengundi bandar yang semakin kritikal, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, kemudahan awam serta kebajikan komuniti dijangka menjadi antara fokus utama sepanjang tempoh berkempen.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN16 Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026 dengan tempoh berkempen 14 hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast