Kredit: Laman Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu terus diperkukuh sebagai institusi yang berperanan mengangkat martabat warga peneroka dan keluarga mereka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata perkara itu ditegaskan beliau semasa menerima kunjungan hormat Pengerusi FELDA yang baharu, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir di Putrajaya, semalam.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kebajikan setiap generasi peneroka perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh daya saing ekonomi dan kelestarian FELDA termasuk memberi perhatian khusus terhadap isu yang dihadapi generasi baharu.

“Saya yakin dengan amanah yang dipikul, saudara Ahmad Badri mampu meneruskan agenda pemulihan dan pengukuhan FELDA.

“Bahkan Kerajaan MADANI akan terus memberikan sokongan penuh demi memastikan institusi rakyat ini terus maju dan kekal relevan untuk generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Badri dilantik sebagai Pengerusi FELDA berkuat kuasa 15 Julai bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang tamat tempoh perkhidmatan pada 30 Jun lepas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast