Calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim bercakap pada sidang media selepas proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Majlis Bandaraya Seremban. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) tidak memandang rendah saingan terhadap bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Rafie Abd. Malek dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan.

Calonnya, Datuk Muhammad Nazri Kassim sebaliknya menganggap pertandingan tiga penjuru itu sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan kerja keras bagi meraih keyakinan pengundi.

“Pengalaman Rafie yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan dan Exco kerajaan negeri menjadikan persaingan kali ini lebih mencabar.

“Namun ia tidak akan melemahkan semangat jentera PH untuk mempertahankan kerusi N.14 Ampangan.

“Sebab itu kami akan bekerja lebih kuat untuk meyakinkan pengundi di Ampangan mengenai kesungguhan serta kemampuan kami menjadi wakil rakyat yang dapat membawa suara dan menyelesaikan masalah mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas penamaan calon PRN Negeri Sembilan ke-16, di sini hari ini.

Mengulas tawaran kepada rakyat Ampangan, Nazri berkata, fokus utama beliau adalah membangunkan kawasan itu sebagai hab perdagangan dan aktiviti ekonomi memandangkan kawasan itu sudah matang dengan ruang pembangunan baharu terhad.

Katanya, kedudukan strategik Ampangan berhampiran pusat bandar Seremban perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik lebih banyak aktiviti perniagaan yang mampu mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk.

“Ampangan ialah sebuah kawasan yang sudah matang dan ruang untuk pembangunan baharu sangat terhad. Jadi, kelebihannya ialah kedudukan yang strategik berhampiran pusat bandar Seremban.

“Potensi itu perlu dimanfaatkan untuk memperkukuhkan sektor perdagangan dan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan aspek kebersihan, keceriaan dan landskap kawasan tidak boleh dipinggirkan kerana ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan imej Ampangan sebagai antara pintu masuk utama ke bandar Seremban.

“Program pembersihan kawasan, penyelenggaraan landskap serta usaha memperindah persekitaran akan diberikan perhatian secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Nazri berkata, isu banjir kekal menjadi keutamaan memandangkan Sungai Linggi yang merentasi kawasan Ampangan memerlukan penyelenggaraan yang konsisten.

Jelasnya, kerja-kerja penyelenggaraan sungai, longkang dan sistem perparitan perlu diperkasakan bagi mengurangkan risiko banjir yang sering membelenggu penduduk.

“Kalau sungai tidak diselenggara dengan baik, ia boleh mengakibatkan banjir dan membawa musibah kepada warga Ampangan.

“Sebab itu penyelenggaraan sungai, longkang dan sistem perparitan mesti menjadi keutamaan supaya risiko banjir dapat diminimumkan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Kerusi DUN N.14 Ampangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Muhammad Nazri mewakili PH, Rafie (PN-PAS) dan Noor’Azah (Bersatu). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast