Calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim (kanan), bersama calon Perikatan Nasional (PN) dari PAS, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek (kiri) dan calon Bersatu, Noor’Azah Harun (tengah), bergambar selepas pengumuman calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di pusat penamaan calon di Majlis Bandaraya Seremban. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 JULAI 2026.

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Rafie Abd. Malek bagi merampas semula kerusi N.14 Ampangan daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan.

Rafie yang mewakili Pas di bawah panji PN, berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Muhammad Nazri Kassim, serta Noor’Azah Harun yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pertembungan itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.14 Ampangan, Datuk Masri Razali yang menerima borang pencalonan di pusat penamaan calon di Majlis Bandaraya Seremban Forest Heights, di sini, hari ini.

Pemilihan Rafie dilihat sebagai strategi penting PN yang menampilkan semula pemimpin berpengalaman dan cukup dikenali di Ampangan, selain pernah mewakili kawasan berkenaan serta menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan.

Dengan pengalaman dalam pentadbiran negeri dan hubungan yang telah lama terjalin bersama masyarakat setempat, Rafie dijangka menjadi sandaran utama PN untuk menarik semula sokongan pengundi serta mengembalikan kerusi Ampangan ke pangkuan gabungan itu.

Sementara itu, PH mempertaruhkan Muhammad Nazri bagi mempertahankan penguasaan di kerusi berkenaan dengan membawa agenda kesinambungan pembangunan dan kestabilan pentadbiran negeri.

Penyertaan Noor’Azah pula menambah warna kepada persaingan apabila beliau menawarkan pilihan ketiga kepada pengundi dalam saingan tiga penjuru tersebut.

Sepanjang tempoh berkempen, isu pembangunan setempat, kos sara hidup, peluang ekonomi, kemudahan awam serta kebajikan rakyat dijangka menjadi antara fokus utama yang akan diketengahkan oleh semua calon.

DUN Ampangan dijangka menjadi antara kerusi tumpuan pada PRN16 Negeri Sembilan memandangkan persaingan sengit melibatkan calon berprofil tinggi, selain usaha PN untuk merampas semula kerusi itu daripada PH.

Keputusan di Ampangan turut dilihat berpotensi memberi gambaran awal terhadap penerimaan pengundi bandar dan separa bandar terhadap tawaran politik yang dibawa oleh setiap gabungan menjelang pembentukan kerajaan negeri baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast