Gambar hiasan.

KANGAR – Tiga pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di sini direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membuli seorang rakan sekolah sehingga menyebabkan mangsa mengalami patah buku lali kiri.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.27 malam Khamis.

Beliau berkata ibu mangsa yang berusia 39 tahun sebelum itu dimaklumkan oleh guru kelas pada pukul 12.28 tengah hari bahawa anaknya, yang juga pelajar Tingkatan Satu, tergelincir ketika memasuki kelas dan tidak dapat berjalan.

Katanya, ibu mangsa mengambil anaknya kira-kira pukul 1 tengah hari sebelum membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah di sini, dan doktor mengesahkan mangsa mengalami patah buku lali kiri.

Yusharifuddin berkata ketika berada di hospital kira-kira pukul 7.28 malam, mangsa memberitahu ibunya bahawa dia dipercayai telah dibuli sejak beberapa bulan lalu.

Keadaan semakin memuncak dengan kejadian pada hari berkenaan sehingga menyebabkan mangsa cedera.

Beliau berkata tiga pelajar terbabit dipercayai menendang dan memukul mangsa, membaling dua tong sampah besar ke arah badan dan kepalanya serta meludah mangsa.

Mereka juga disyaki memeras ugut mangsa dengan meminta wang belanjanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast