Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkempen di DUN Kuala Pilah, Negeri Sembilan hari ini.

KUALA PILAH – Pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah memberi manfaat kepada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, telah memberi manfaat kepada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ia bermula daripada bayi yang baru lahir sehingga warga emas.

Penyandang kerusi DUN Pilah itu berkata, pendekatan yang dibawa Aminuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Min memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan di samping pembangunan infrastruktur dan ekonomi negeri.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Warung Kak Zai di sini hari ini ketika menyantuni pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Datuk Seri Aminuddin Harun

Menurutnya, pelbagai isu yang dibangkitkan penduduk di Pilah seperti keadaan jalan, longkang, kemudahan kampung serta permohonan baik pulih rumah sentiasa diberi perhatian menerusi kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta agensi berkaitan.

“Semua aduan ini kita usahakan untuk disampaikan dan diselesaikan. Apa yang penting ialah rakyat merasai sendiri manfaat daripada pentadbiran kerajaan negeri.

“Melalui kepimpinan Tok Min, terlalu banyak inisiatif telah diberikan kepada rakyat khususnya melibatkan kebajikan.

“Daripada bayi yang baru lahir, warga emas, anak-anak remaja hinggalah kepada golongan belia, semuanya ada bentuk bantuan dan inisiatif tersendiri,” ujarnya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah bantuan RM500 kepada pasangan belia yang baru mendirikan rumah tangga, yang menurutnya sudah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.

Katanya, bantuan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri membantu golongan muda memulakan kehidupan berkeluarga, selain pelbagai lagi inisiatif lain yang disasarkan kepada kumpulan mengikut peringkat umur.

“Yang pentingnya ialah tiada satu pun golongan yang kita tinggalkan. Setiap peringkat umur ada inisiatif yang disediakan kerajaan negeri dan itu yang membezakan pendekatan pentadbiran hari ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perancangan di Pilah, Noorzunita berkata, daerah itu akan terus dibangunkan sekiranya PH diberi mandat sekali lagi mentadbir Negeri Sembilan selepas PRN kali ini.

Beliau berkata, selain meneruskan projek pembangunan dan menaik taraf kemudahan awam, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi tempatan serta memperluaskan peluang pekerjaan kepada golongan muda di Kuala Pilah.

“Kuala Pilah semakin maju tetapi masih ada ruang yang boleh kita tambah baik. Kita mahu melihat lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan ekonomi anak muda terus diperkasakan supaya mereka mempunyai masa depan yang lebih baik di daerah ini,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi khususnya golongan muda, supaya keluar mengundi pada 1 Ogos ini dan terus memberikan mandat kepada PH.

Menurutnya, kerajaan PH telah membuktikan keupayaannya mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018 menerusi pelbagai dasar serta inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Jangan lupa pulang mengundi pada 1 Ogos nanti. Teruskan sokongan kepada PH supaya segala perancangan dan inisiatif yang telah dilaksanakan dapat diteruskan demi masa depan Negeri Sembilan khususnya di Pilah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast