GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang menilai keadaan semasa keluarga Allahyarham Shahir Zainul bagi mengenal pasti keperluan bantuan selain menyalurkan bantuan segera kepada ibunya yang kini menjaga dua cucu.
Pengarahnya, Rozita Ibrahim berkata, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Barat Daya telah mengadakan lawatan ke kediaman keluarga itu bersama wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gedung bagi melakukan penilaian.
“Permohonan bantuan bagi ibu Allahyarham yang kini menjaga dua cucunya sedang dalam proses siasatan dan akan dipertimbangkan pada Ogos ini sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
“Pada lawatan itu, PKMD Barat Daya menyalurkan sumbangan Tabung Bantuan Segera Negeri berjumlah RM300 secara sekali beri selain menyampaikan bakul makanan hasil sumbangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya di sini hari ini.
Tambah Rozita, JKM turut menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga berkenaan sekiranya diperlukan bagi membantu mereka menghadapi situasi semasa selain memberikan sokongan emosi sewajarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Misteri kehilangan Shahir terungkai, ditemui sebagai mayat tak dituntut
Kes kehilangan Shahir selesai – Polis
Media pada Sabtu lalu melaporkan, polis mengesahkan Shahir, 46, yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu meninggal dunia pada 11 Jun akibat sindrom koronari akut ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kehilangan lelaki itu akhirnya terungkai selepas ahli keluarganya mengenal pasti mayat di Jabatan Forensik HPP pada Jumaat lalu susulan hebahan mayat tidak dituntut yang dikeluarkan pihak hospital. – MalaysiaGazette















