Ujian mengupas kelapa menggunakan siku bukan amalan wajib dalam Silat Siku 12 yang berasal di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Ujian mengupas kelapa menggunakan siku sebagai syarat awal menyertai Silat Siku 12 bukan amalan yang diwajibkan kepada semua guru seni bela diri itu.

Tenaga pengajar Pertubuhan Seni Silat Melayu Petir Warisan Shaik Dada Malaysia, Damshir Maaz, 54, berkata, pendekatan itu adalah atas pertimbangannya sendiri dan tidak mewakili kaedah pengajaran semua guru atau pertubuhan yang mengajar Silat Siku 12.

Menurutnya, setiap guru mempunyai cara tersendiri dalam membentuk disiplin serta memilih anak murid, justeru masyarakat tidak sepatutnya menganggap ujian berkenaan sebagai syarat rasmi atau sebahagian daripada silibus asal Silat Siku 12 yang berasal dari Pulau Pinang.

“Saya hanya melaksanakan kaedah itu di gelanggang saya dan tidak pernah mengatakan semua guru perlu berbuat demikian. Setiap guru ada pendekatan masing-masing dan saya menghormati perbezaan itu.

“Apa yang lebih penting ialah usaha bersama memastikan warisan Silat Siku 12 terus dipelihara, dihormati dan berkembang kepada generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada unsur paksaan kepada mana-mana individu yang ingin mempelajari seni bela diri berkenaan kerana mereka bebas memilih guru atau persatuan yang dirasakan sesuai.

“Jika ada yang kurang bersetuju dengan syarat itu, mereka boleh memilih untuk belajar dengan guru atau persatuan lain yang tidak mengenakan ujian sedemikian,” katanya.

Damshir yang mengajar Silat Siku 12 sejak 1995 berkata, kewujudan pelbagai pertubuhan dan tenaga pengajar dengan pendekatan berbeza memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat tanpa menjejaskan nilai serta matlamat asal seni bela diri berkenaan.

Beliau berkata, fokus utama dalam dunia persilatan bukan terletak pada kaedah tapisan awal seseorang murid, sebaliknya usaha membentuk individu yang berdisiplin, beradab tinggi serta mampu memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk diri sendiri dan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast