KUALA LUMPUR – Populariti Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kalangan pengundi di negeri itu disifatkan tidak sepadan dengan prestasi baik yang dipamerkan beliau.
Perkara itu dikongsikan pemerhati politik tempatan yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim hasil penelitian awal beliau ketika turun padang meninjau kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang sedang berlangsung ketika ini.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT berkata, pengundi tidak memuji Aminuddin secara organik dan tidak menyebut pencapaian baik Ahi Parlimen Port Dickson berkenaan.

Dalam erti kata lain, ujarnya, Aminuddin tidak cukup popular dalam kalangan pengundi akar umbi.
“Dengan kata lain, prestasi cemerlang `Tokmin’ dan kerajaan negeri kurang merangsang momentum sokongan terhadap PH (Pakatan Harapan), sekurang-kurangnya pada fasa awal kempen ini.
“Ini berbeza dengan Johor tempoh hari.
“Apabila kami turun ke lapangan, pengundi secara spontan dan organik memuji MB Johor, Datuk Onn Hafiz (Ghazi), sekali gus menyatakan kesediaan mengundi BN untuk mengekal Johor di bawah kepimpinan UMNO,” katanya menerusi Facebook semalam.
Bagaimanapun, seperti ditegaskan Mohd Yusri yang juga Ketua Penyelidik Ilham Centre, ia hanyalah dapatan awal pemerhatian pasukannya ketika kempen PRN Negeri Sembilan baru memasuki hari kedua semalam.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Aminuddin akan merebut kerusi DUN Linggi dalam persaingan tiga penjuru menentang calon BN yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said.
DUN Linggi merupakan kubu kuat UMNO-BN yang mana pada PRN 2023, Mohd Faizal memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,461 undi dalam persaingan satu lawan satu menentang Zamri.
PH tidak bertanding di kerusi tersebut pada 2023 berikutan pakatan pilihan raya dengan BN di bawah pembentukan Kerajaan Madani.
DUN Linggi mempunyai seramai 20,677 pengundi berdaftar dengan komposisi 62 peratus Melayu, India (17 peratus); Cina (16 peratus) dan lima peratus kaum lain. – MalaysiaGazette
















