SEREMBAN – Selepas tewas di kesemua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga hilang wang deposit, Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli dijangka berdepan nasib sama pada PRN Melaka.
Menurut Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling, parti baharu itu dijangka sekali lagi menerima tamparan susulan penolakan tinggi pengundi Melayu terhadap prestasi Rafizi ketika menjadi menteri selain peningkatan semula sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, jenama Parti Bersama juga masih gagal menarik sokongan masyarakat sekali gus menimbulkan persoalan sama ada parti itu mampu terus kekal relevan dalam landskap politik negara.
Kemampuan sesebuah parti untuk terus mendapat sokongan rakyat bergantung kepada sejauh mana prinsip perjuangan, kejayaan dan ketelusan yang dibawanya dapat diterjemahkan, katanya.
“Berdasarkan sokongan dan sambutan masyarakat, saya melihat kenyataan dan janji manis yang pernah ditabur ketika dalam PH telah menjadi pengajaran kepada rakyat agar tidak lagi ditipu dan dimanipulasikan dengan pelbagai formula yang akhirnya hanya menjadi alat meraih undi berbanding pelaksanaan sebenar.
“Realiti yang perlu diterima ialah masyarakat tidak akan lagi terpesona dengan apa-apa formula yang jauh daripada realiti kemampuan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Parti Bersama mengesahkan tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan bagi memberi sepenuh tumpuan kepada persiapan menghadapi PRN Melaka.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin DAP, Tony Pua turut menggesa pengundi terus menyokong PH pada PRU16 sambil mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi perdana menteri sekiranya berlaku sebaliknya.
Bekas Ahli Parlimen Damansara itu berkata, tindakan mengundi “parti pengacau” atau tidak keluar mengundi pada PRU-16 hanya akan memberi kelebihan kepada BN.
Label itu dipercayai merujuk kepada Parti Bersama yang didakwa memecahkan undi PH sehingga menyumbang kepada kekalahan gabungan berkenaan di dua kerusi pada PRN Johor.
Mengulas lanjut, Mohamad Faisol berkata, pelbagai janji dan formula yang pernah dibawa sebelum 2018 serta ketika berada dalam kerajaan kini menjadi ukuran rakyat untuk menilai kemampuan sebenar parti itu.
Justeru, beliau berpandangan Parti Bersama akan terus berdepan kesukaran mendapatkan sokongan rakyat dan berisiko sekadar menjadi pelengkap kepada senarai parti yang bertanding pada pilihan raya. – MalaysiaGazette
















