Calon BN DUN Seremban Jaya bersama pengundi ketika sesi walkabout.

SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya, Datuk Thinalan T Rajagopalu berikrar menyalurkan keseluruhan gajinya sebagai wakil rakyat ke dalam sebuah tabung khasmembantu masyarakat  sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan komitmen peribadinya bagi memastikan manfaat dapat disalurkan terus kepada penduduk yang memerlukan di Seremban Jaya.

“Saya akan masukkan gaji saya sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan) ke dalam satu tabung untuk masyarakat Seremban Jaya. Setakat yang saya tahu, belum ada lagi ADUN di Negeri Sembilan yang melakukan perkara seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut Thinalan, kempen yang memasuki hari ke-4 turut menunjukkan perkembangan positif apabila beliau menerima sambutan menggalakkan daripada pengundi pelbagai kaum.

Katanya, sepanjang dua hari pertama kempen beliau berjaya bertemu lebih 400 pengundi setiap hari, manakala pada hari ketiga lebih 200 pengundi disantuni menerusi sesi turun padang.

“Selepas ini saya akan meneruskan kempen di pasar malam dan kawasan tumpuan bagi bertemu lebih ramai pengundi serta mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Mengulas isu yang sering dibangkitkan rakyat, Thinalan berkata, tiga perkara utama yang menjadi kebimbangan penduduk ialah infrastruktur termasuk kesesakan lalu lintas, pendidikan dan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, isu-isu berkenaan akan diberi keutamaan bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Dalam aspek pendidikan, beliau berkata, peluang biasiswa melalui institusi berkaitan MIC seperti TAFE College dan Universiti AIMST akan diusahakan bagi membantu lebih ramai anak Seremban Jaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau turut berjanji akan membawa pelbagai isu yang membebankan rakyat termasuk kos sara hidup ke DUN supaya perhatian dan tindakan sewajarnya dapat diambil oleh kerajaan negeri.

“Saya mahu menjadi suara rakyat di dalam dewan. Apa sahaja isu yang dihadapi penduduk termasuk kos sara hidup akan saya bangkitkan supaya penyelesaian dapat dicari,” katanya.

Pada masa sama, Thinalan berkata, BN dan MIC akan terus bekerja keras meraih sokongan semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India dengan menawarkan penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi penduduk, selain menjelaskan perancangan yang ingin dilaksanakan di Seremban Jaya.

Beliau turut menyatakan keyakinan BN mampu mencatat keputusan cemerlang pada PRN Negeri Sembilan kali ini dengan sasaran memenangi 26 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast