BARU berusia 35 tahun dan boleh dianggap setahun jagung dalam politik, Dr. Azizul Hakim Mahdi bagaimanapun diberi tanggungjawab cukup besar sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Doktor perubatan itu bukan sahaja bersaing di DUN yang diketahui kubu kuat UMNO-BN, malah berdepan tokoh cukup hebat sama ada dalam parti politik atau kerajaan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kepada MalaysiaGazette, Dr Azizul Hakim berkongsi harapan dan aspirasinya dalam memberikan wajah baharu kepada DUN Rantau sesuai dengan kepimpinannya yang lebih segar dan agresif.
MalaysiaGazette: Bagaimana Dr. melihat peluang di DUN Rantau memandangkan berdepan nama besar iaitu Tok Mat?
Dr. Azizul Hakim: Apabila masuk ke gelanggang politik khususnya di Rantau ni, saya sedar siapa lawan saya. Saya juga menghormati Tok Mat sebagai wakil rakyat yang lama di sini. Walau apa-apa pun, peluang untuk saya menang itu tetap ada, dengan demografi penduduk di Rantau iaitu 55 peratus Melayu dan 45 peratus bukan Melayu. Pengundi di Rantau juga kebanyakannya golongan muda berusia 18 hingga ke 39 tahun iaitu kira-kira 55 peratus. Jadi saya percaya pengundi Rantau perlukan nafas baharu. Kita juga mengharapkan pengundi memberi peluang kepada seorang calon yang lebih muda dan profesional. Mungkin juga latar belakang saya sebagai doktor perubatan memberi kelebihan untuk saya menang di DUN Rantau.
MalaysiaGazette: Bagaimana penerimaan penduduk sepanjang Dr. berkempen?
Dr. Azizul Hakim: Alhamdulillah penerimaan penduduk sangat baik. Kita mula berkempen dari awal pagi selepas solat Subuh bertemu penduduk Melayu, masuk ke kawasan perumahan dan kejiranan masyarakat Cina dan India. DUN Rantau ini penduduknya rencam dan pelbagai kaum dan mereka menerima kehadiran saya dengan baik. Mereka juga mahukan nafas baharu untuk mewakili mereka. Jadi saya akan cuba yang terbaik sekiranya diberi kepercayaan dan peluang di sini.

MalaysiaGazette: Sepanjang bertemu pengundi apa masalah utama di DUN Rantau yang sering dibangkitkan?
Dr. Azizul Hakim: DUN Rantau ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan utara khususnya di Sendayan dan kawasan-kawasan berdekatannya. Di sini masalahnya adalah tentang harga rumah yang tinggi dan tidak mampu dimiliki kebanyakan penduduk. Jadi antara manifesto spesifik saya untuk penduduk Sendayan adalah mahu jadikan kawasan itu sebagai bandar yang mampu dimiliki. Di Sendayan dulu ada kawasan Felda yang sekarang sudah jadi Kampung Sendayan. Jadi kebanyakan generasi kedua dan ketiga Felda Sendayan ini masih lagi tidak memiliki rumah. Jadi saya mahu perjuangkan untuk mendapatkan tanah bagi dibangunkan Rumah Harapan khas untuk anak-anak Sendayan. Selain itu masalah kesesakan juga sering disuarakan penduduk di Sendayan. Jadi saya mahu tawarkan sistem traffic light pintar bagi mengatasi masalah itu. Di samping itu kita tengok banyak kawasan perumahan baharu dibuka di Sendayan, tetapi tidak seimbang dengan jumlah sekolah yang ada. Jadi saya akan perjuangkan juga agar lebih banyak sekolah dapat dibuka supaya pelajar dapat belajar dalam suasana selesa selain turut memudahkan ibu bapa.

MalaysiaGazette: Ada yang mendakwa DUN Rantau tak banyak perubahan sejak sekian lama, apa komen Dr.?
Dr. Azizul Hakim: Jika kita lihat di bahagian utara Rantau, memang masih merupakan pekan kecil dan masih ada kawasan-kawasan kampung. Kita tak mengharapkan adanya bangunan-bangunan tinggi di kawasan ini, tetapi itu tak bermakna kawasan ini tak memerlukan perhatian atau dipinggirkan. Apa yang saya mahu bawa di kawasan ini adalah dari segi kemudahan kesihatan memandangkan kebanyakan penduduknya sudah berusia. Jadi kita mahu pastikan setiap warga emas khususnya mendapat akses kesihatan yang baik, sentiasa sihat walaupun sudah berusia. Selain itu, perubahan lain yang saya mahu bawa adalah menjadikan Rantau ini sebagai hab industri kepada usahawan dan peniaga tempatan. Ramai penduduk Rantau khususnya anak-anak muda yang ada kemahiran dan kepakaran sebagai contoh lulusan TVET dalam bidang automotif, industri makanan dan sebagainya. Tetapi mereka tidak ada tempat atau ruang untuk mengembangkan kepakaran itu di sini. Jadi saya akan berbincang dengan agensi berkaitan seperti MARA dan sebagainya supaya dapat diwujudkan hab khas untuk aktiviti perniagaan seperti bengkel, kilang makanan dan sebagainya dapat dibuka di sini. Ini juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan seterusnya melonjakkan ekonomi penduduk setempat.

MalaysiaGazette: Terakhir, apa harapan dan rayuan Dr. kepada pengundi di Rantau?
Dr. Azizul Hakim: Saya yakin pengundi Rantau memerlukan nafas baharu di sini iaitu seorang pemimpin muda, lebih agresif dan paling utama sentiasa ada di sini bersama-sama menyelesaikan dan membantu masalah mereka. Jika saya diberi mandat itu, saya insya-Allah, saya akan sentiasa ada di sini. Saya akan pastikan aspek kesihatan, ekonomi, kebajikan warga emas dan kepentingan anak muda terjamin. Jadi saya merayu dan mengajak semua pengundi DUN Rantau untuk kita sama-sama mencipta sejarah dan mengubah Rantau ini kepada Pakatan Harapan kali ini. – MalaysiaGazette

















