M. Kumar A/L S. Muthuvelu

KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan satu sindiket jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Vinod’ yang dipercayai aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di sekitar Selangor sejak 2023 menerusi Op Rapido.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, operasi khas itu dilaksanakan dengan kerjasama JSJ Kontinjen Selangor pada 23 dan 24 Jun lalu telah menahan 11 suspek lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun.

“Siasatan mendapati kumpulan itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan mempunyai 17 ahli yang terdiri daripada penjenayah berulang berusia antara 20 hingga 34 tahun.

“Mereka dipercayai aktif sejak 2023 dan terlibat dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan berkumpulan, cubaan membunuh, merusuh dengan senjata, menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta khianat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah melakukan samun menggunakan parang dan senjata tajam lain dengan menyasarkan premis kediaman selain melakukan pelbagai jenayah serius bagi mendapatkan keuntungan material, kuasa atau pengaruh.

Katanya, semua suspek kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 25 Julai ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis turut mengenal pasti lima lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Menurut beliau, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk cubaan membunuh, rompakan berkumpulan, pecah rumah, ugutan jenayah, pemerasan, merusuh dengan senjata serta pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk pengedaran.

“Tangkapan ini membolehkan polis menyelesaikan sebanyak 21 kes jenayah selain melumpuhkan satu sindiket rompakan berkumpulan bersenjata yang aktif di Selangor,” tambahnya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Katanya lagi, pada 17 Julai lalu, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan telah diperoleh terhadap kesemua 11 suspek.

Mereka dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada 24 Julai, jam 9.30 pagi, ujar beliau.

M. Kumar berkata, polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan jenayah, khususnya jenayah kekerasan, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast