KUALA LUMPUR – Alkhair Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keganasan yang terus berlarutan di selatan Thailand yang kini semakin membimbangkan selepas lima anggota renjer Thailand dilaporkan maut dalam serangan di sebuah pusat pemeriksaan di daerah Ra-ngae, Narathiwat.
Alkhair Malaysia menegaskan, keganasan tanpa mengira siapa pelakunya dan apa jua alasan yang digunakan, tidak boleh diterima sama sekali.
Nyawa manusia tidak boleh dijadikan alat untuk mencapai sebarang matlamat politik, ideologi atau perjuangan, kata Ketua Pegawai Operasi Alkhair Malaysia, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan dalam kenyataan.
Pada masa yang sama, Alkhair Malaysia turut melahirkan kebimbangan serius terhadap dakwaan penangkapan sewenang-wenangnya, penderaan serta pencabulan hak orang awam yang berterusan di tiga wilayah bergolak di selatan Thailand.
“Kami menegaskan bahawa keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak asasi manusia. Sebarang tindakan terhadap orang awam mestilah berlandaskan undang-undang, prosedur yang telus dan prinsip keadilan.
“Sebarang bentuk penderaan, penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan dan orang awam adalah tidak boleh diterima serta mesti dihentikan segera,” kata Mohd Luqmanulhakim.
Sehubungan itu, Alkhair Malaysia mendesak pihak berkuasa Thailand menjalankan siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh terhadap semua insiden keganasan serta dakwaan pencabulan hak asasi manusia di wilayah berkenaan.
“Kami juga menuntut agar segala bentuk kekebalan terhadap pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang dihentikan. Tiada mana-mana pihak, termasuk pihak berkuasa, boleh berada di atas undang-undang.
“Alkhair Malaysia percaya bahawa pendekatan bersenjata dan tindakan keras semata-mata tidak akan menyelesaikan konflik yang telah berlarutan sekian lama. Sebaliknya, tindakan sedemikian hanya berpotensi memperdalamkan trauma, kebencian dan kitaran keganasan dalam kalangan masyarakat awam,” jelas
Sehubungan itu, Alkhair Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik agar segera menghentikan keganasan dan kembali ke meja rundingan dengan komitmen yang serius, jujur dan bermakna bagi mencari penyelesaian politik serta membina proses perdamaian yang berkekalan.
“Kami menyeru kerajaan Thailand agar memberikan keutamaan kepada perlindungan orang awam, penghormatan terhadap hak asasi manusia dan penyelesaian konflik melalui dialog bukannya melalui penindasan dan kekerasan,” katanya lagi.
Alkhair Malaysia menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap penderitaan orang awam di selatan Thailand. – MalaysiaGazette
















