Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama anggota ATM yang hadir pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 24 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan fitnah yang tersebar ketika ini kononnya beliau menggelar tentera sebagai `bangang’.

Menurutnya, fitnah itu disebarkan menerusi video potong dan tampal (cut paste) yang memperlihatkan seolah-olah beliau membuat kenyataan sedemikian rupa.

“Saya hairan dengan politik sebegitu rupa, saya bukan perfect (sempurna). Saya ada banyak kelemahan.

“Saya juga dalam hidup banyak kesilapan dan kalau terlepas apa-apa keterlanjuran, saya minta maaf. Tetapi jangan fitnah saya.

“Masing-masing mahu bawa perubahan, kebaikan. Tapi jangan menang kerana fitnah.

“Jangan seronok dengan tepuk tangan orang bila kita memfitnah seseorang,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama anggota ATM yang hadir pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 24 JULAI 2026.

Terdahulu, video lama ucapan Anwar yang kononnya menggelar tentera sebagai `bangang’ ketika berceramah yang dipercayai telah dipotong dan tampal tular semula di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Video itu yang pernah mencetuskan kontroversi pada beberapa siri pilihan raya sebelum ini, muncul semula ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika ini menghampiri minggu kedua.

Sementara itu, Anwar berterima kasih kepada barisan pertahan negara dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkorban serta mempertaruhkan nyawa mereka bagi memastikan keamanan negara kekal terpelihara.

Menurut beliau, keamanan yang dikecapi hasil perjuangan anggota ATM itu membolehkan negara terus memacu perkembangan ekonomi, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Disebabkan itu juga, ujarnya, kerajaan tidak pernah memandangkan remeh dalam soal peruntukan kepada cabang pertahanan negara yang mana pada tahun ini, sejumlah RM21.7 bilion disediakan, iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan tahun ini juga sudah meluluskan sebanyak RM844 juta bagi tujuan menaik taraf dan memperbaiki rumah anggota tentera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 24 JULAI 2026.

Kata beliau, selaku penjawat awam juga, anggota ATM turut menikmati kenaikan gaji minima sehingga 30 peratus bergantung kepada pangkat, iaitu selepas 12 tahun tiada sebarang kenaikan.

“Bagi sambutan Hari Pahlawan pula, kebiasaannya kerajaan beri RM1 juta atau paling tinggi RM1.5 juta, tetapi tahun ini disebabkan rekod pengurusan yang baik, saya sebelum ini telah minta Kementerian Kewangan tambahan dana RM2 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast