JEMPOL – Kerjasama politik antara Pas dan Barisan Nasional (BN) dijangka tidak mampu bertahan lama, malah berpotensi memberi lebih banyak kerugian kepada BN berbanding manfaat, kata Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan.
Sanjeevan yang juga calon Bersatu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang berkata, kerjasama itu bukan sahaja berdepan cabaran mendapatkan sokongan penyokong tradisi kedua-dua parti, malah boleh memberi kesan kepada sokongan pengundi bukan Melayu yang selama ini menjadi antara kekuatan BN.
“Ramai menganggap apabila dua parti bekerjasama, semua undi akan bergerak bersama. Hakikatnya tidak begitu kerana pengundi mempunyai pendirian sendiri dan tidak semestinya mengikut keputusan kepimpinan parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut beliau, sehingga kini tiada jaminan penyokong PAS akan mengalihkan sokongan kepada calon BN, sebagaimana tiada kepastian penyokong setia BN mampu menerima calon daripada Pas sekiranya kerjasama itu diteruskan.
Beliau berkata, situasi itu lebih mencabar apabila melibatkan pengundi bukan Melayu, khususnya penyokong MCA dan MIC yang disifatkannya masih sukar menerima Pas sebagai pilihan politik.
“Dalam kalangan masyarakat India misalnya, ramai yang tidak selesa dengan Pas. Sebab itu saya melihat kerjasama ini bukan memberi kelebihan kepada BN, sebaliknya boleh menyebabkan mereka kehilangan sebahagian sokongan tradisi,” ujarnya.
Mengulas keputusan Bersatu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sanjeevan berkata, penggunaan logo parti sendiri buat pertama kali memberi keyakinan baharu kepada jentera dan calon di negeri itu.
Katanya, penerimaan terhadap logo Bersatu dilihat lebih positif berbanding ketika parti itu menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya sebelum ini.
Beliau mendakwa penggunaan logo PN sebelum ini memberi kesan negatif kepada Bersatu kerana sebahagian pengundi membuat penilaian terhadap gabungan itu secara keseluruhan tanpa membezakan parti yang bertanding.
“Apabila mereka nampak logo PN, mereka terus membuat keputusan berdasarkan persepsi terhadap gabungan tersebut. Bersatu turut menerima tempias walaupun calon yang bertanding bukan daripada PAS,” katanya lagi.
Mengulas prestasi PN pada PRN Johor baru-baru ini, Sanjeevan mendakwa kemerosotan sokongan terhadap gabungan itu banyak dipengaruhi sentimen pengundi terhadap Pas, sekali gus menjejaskan calon Bersatu yang bertanding menggunakan lambang PN.
Menurutnya, pengalaman itu menjadi antara sebab Bersatu mengambil keputusan bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan bagi membolehkan pengundi menilai parti itu berdasarkan identiti, calon dan perjuangan yang dibawanya.
Beliau turut berpandangan kepimpinan yang bertanggungjawab terhadap strategi politik PN sebelum ini perlu mengambil akauntabiliti terhadap prestasi gabungan berkenaan.
“Kalau sesuatu strategi tidak berhasil dan rakyat menolaknya, mereka yang bertanggungjawab perlu berani mengambil tanggungjawab. Itu prinsip dalam mana-mana organisasi politik,” katanya.
Sanjeevan berkata, Bersatu kini mahu membina keyakinan pengundi atas kekuatan parti sendiri, selain menawarkan calon yang diyakini mampu membawa suara rakyat tanpa bergantung kepada persepsi terhadap mana-mana gabungan politik. -MalaysiaGazette

















kerjasama PAS dgn BERSATU macam kisah si luncai terjun dengan labu labunya Dan BERSATU terjun ke dalam sungai akhirnya tenggelam dan lemas. Tidak siapa yang peduli