SENDAYAN – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 merupakan dokumen yang lahir daripada suara rakyat selepas siri jelajah kepimpinan parti ke seluruh negeri.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, penyediaan manifesto itu bermula dengan mengenal pasti keperluan sebenar rakyat bukannya mencari janji yang paling menarik perhatian pengundi.
Beliau berkata, sepanjang beberapa bulan lalu, pimpinan BN turun bertemu pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak muda, petani, usahawan, penjawat awam, wanita, warga emas, masyarakat FELDA dan Orang Asli.
“Hasil daripada setiap pertemuan itu, satu perkara menjadi semakin jelas. Rakyat hari ini tidak meminta keajaiban. Mereka hanya mahukan sebuah kerajaan yang boleh dipercayai, mendengar dan menunaikan amanah,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN Negeri Sembilan di sini malam ini.
Menurut Jalaludin, manifesto itu dibina berdasarkan realiti semasa negeri dan kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya.
“BN percaya manifesto yang baik bukanlah manifesto yang paling tebal atau mempunyai janji paling banyak tetapi mampu mengubah kehidupan rakyat secara praktikal,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa rakyat Negeri Sembilan membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran dan kemampuan mentadbir bukan dipengaruhi sentimen atau emosi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kami tidak meminta rakyat membuat keputusan berdasarkan emosi atau sentimen. Nilailah kami berdasarkan rekod yang telah kami buktikan, komitmen yang kami bentangkan dan keupayaan kami melaksanakan amanah,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera BN menyampaikan manifesto kepada rakyat secara berhemah dan berfakta.
Menurutnya, kempen pilihan raya perlu dilaksanakan dengan penuh adab tanpa menyebarkan fitnah atau kebencian.
“Terangkan kepada rakyat dengan jujur apa yang ingin kita lakukan. Yakinkan mereka dengan fakta, bukan fitnah. BN sentiasa memilih politik yang menyatukan, bukannya politik yang memecah-belahkan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















