Calon PH Nilai, Arul Kumar

NILAI – Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar menegaskan, kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh calon-calon lain sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah pun diselesaikan atau sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata, selepas enam hari berkempen, beberapa calon lain didakwa mengemukakan pelbagai janji kepada pengundi seolah-olah isu di DUN Nilai tidak pernah diberikan perhatian, sedangkan banyak projek yang dibangkitkan telah pun siap atau berada dalam fasa pelaksanaan.

Menurutnya, sebagai ADUN penyandang, beliau bertanggungjawab memberikan penjelasan terhadap setiap dakwaan yang dibuat supaya pengundi mendapat gambaran sebenar mengenai status projek di kawasan itu.

Mengulas dakwaan mengenai Jambatan Batang Benar, Arul Kumar berkata jambatan yang menghubungkan Kampung Batang Benar dengan kawasan sekitar Nilai telah lama siap dan digunakan orang ramai, sekali gus menolak dakwaan kononnya projek berkenaan tertangguh selama 10 tahun.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa Nilai tidak mempunyai projek perumahan mampu milik kerana erajaan negeri telah membangunkan ratusan unit rumah mampu milik di Mantin dalam beberapa kategori harga.

Selain itu, kerajaan negeri sudah memperoleh tanah seluas kira-kira 10 ekar di Bandar Baru Nilai bagi pembinaan 400 unit Program Residensi Rakyat (PRR) bernilai RM117 juta di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata, projek berkenaan bakal memberi peluang kepada lebih ramai keluarga yang masih belum memiliki kediaman sendiri untuk memiliki rumah pada harga mampu milik.

Menyentuh isu banjir di Pekan Nilai, Arul Kumar berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa projek utama bagi mengurangkan risiko banjir, termasuk menaik taraf sistem perparitan di Pekan Nilai yang telah siap.

Projek menaik taraf Kolam Takungan Desa Jasmin dan projek tebatan banjir Sungai Batang Labu pula sedang dilaksanakan.

Menurutnya, projek-projek tersebut merupakan penyelesaian jangka panjang yang sedang dilaksanakan dan bukannya sekadar janji ketika pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kesesakan lalu lintas di laluan Pajam ke Nilai merupakan antara isu utama yang dibangkitkan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, laluan itu merupakan jalan Persekutuan dan kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan supaya projek pelebaran kepada empat lorong diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027 selepas kajian teknikal disiapkan.

Mengulas janji pembinaan hospital di Nilai yang dibangkitkan beberapa calon, Arul Kumar memberitahu, pembinaan hospital kerajaan tidak boleh dibuat sekadar janji pilihan raya kerana ia memerlukan tapak yang sesuai serta melalui proses perancangan dan kelulusan kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, cadangan pembinaan hospital kedua di daerah Seremban telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan Bandar Enstek antara lokasi yang sedang dipertimbangkan.

Beliau menegaskan, segala perkara yang dibangkitkan bukan lagi sekadar janji politik, sebaliknya sebahagian besarnya telah diselesaikan atau berada pada peringkat pelaksanaan oleh kerajaan.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Arul Kumar mempertahankan kerusi DUN Nilai dalam pertandingan lima penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lai Chien Kong, calon Bersatu, Datuk V Saravana Kumar, calon Berjasa, Zamani Ibrahim dan calon Bebas, Omar Mohd. Isa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast