Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Majestic Hall, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Dua calon MIC yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dijanjikan jawatan Exco dalam kerajaan negeri sekiranya menang dan Barisan Nasional (BN) kembali merampas negeri itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jaminan itu sebagai pembakar kepada seluruh jentera parti MIC bagi memastikan kemenangan kedua-dua calon berkenaan.

Apatah lagi, kata beliau, peratusan pengundi India di Negeri Sembilan juga adalah yang tertinggi berbanding di negeri-negeri lain iaitu mewakili kira-kira 15.4 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Majestic Hall, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 JULAI 2026.

Ujarnya, pengundi India di Johor telah membuktikan bahawa sokongan kepada calon-calon MIC diterima dalam keadaan yang sangat membanggakan dengan kelebihan majoriti yang besar, sekali gus perlu dipastikan berulang pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

“Apabila nanti Menteri Besar daripada UMNO dilantik, saya mahu dua wakil daripada kaum India turut dilantik sebagai Exco.

“Jadi, Acu (calon BN DUN Sri Tanjung,  A. Achuthan) dan calon BN di Seremban Jaya (Datuk Thinalan T Rajagopalu) perlu pastikan menang kerusi yang ditandingi.

“Tan Sri Vicky (Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran) dan Saravanan (Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan seluruh kepimpinan MIC serta Friends of BN, bantu dua calon ini untuk menentukan dua Exco mewakili masyarakat India ada dalam kerajaan negeri Negeri Sembilan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam program Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Majestic Hall, di sini malam ini.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Majestic Hall, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 JULAI 2026.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO melahirkan keyakinan dua calon MIC yang mewakili BN akan berjaya memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing, sekali gus mengulangi kejayaan 100 peratus calon MIC pada PRN Johor lalu.

Menurutnya, kejayaan di Johor memperlihatkan pengundi-pengundi India telah berubah, selepas pada 2018 dan 2022 mungkin beralih arah kepada parti lawan mungkin atas kesilapan yang telah pun diperbaiki BN.

“`Gelombang biru’ telah datang ke Johor dan Negeri Sembilan. Dan saya bersama-sama rakan-rakan kepimpinan Barisan Nasional dan Friends of BN merasakan gelombang baharu ini adalah amat penting.

“Kita tidak mahu ada masalah dengan mana-mana parti (komponen),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberi jaminan akan terus menjaga rakan-rakan dalam komponen BN serta Friends of BN selagi beliau masih merupakan Pengerusi BN untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Ujarnya, segala permasalahan yang timbul dalam hubungan parti komponen BN sebelum ini sudah diselesaikan atas semangat kebersamaan.

“Masalah lalu telah berlalu, kita tutup buku lama, buka buku baharu. Kita lupakan, forgive and forget apa yang telah berlalu.

“Inilah semangat kita. Semangat baharu di dalam kepimpinan Barisan Nasional.

“Rakyat sangat rindukan Barisan Nasional. Orang India, Cina dan Melayu rindu Barisan Nasional.

“Orang Negeri Sembilan lebih rindu kepada Barisan Nasional untuk jadi kerajaan semula,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast