Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

SEREMBAN – Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan akan meneruskan tindakan undang-undang dengan menuntut ganti rugi RM5 juta terhadap individu yang didakwa memfitnahnya berhubung isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Beliau berkata, Surat Tuntutan (LOD) dijangka dihantar dalam masa terdekat dan enggan melayan cabaran untuk berdebat mengenai isu berkenaan.

“Saya tidak perlu berdebat. Kita jumpa sahaja di mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum setelah dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Anwar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk mendedahkan laporan berkenaan, namun keputusan terbabit perlu dibuat mengikut prosedur melalui pertimbangan Jemaah Menteri, Rabu ini.

Dalam pada itu, Asyraf menegaskan, dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan isu Tabung Haji telah mencemarkan reputasi serta integritinya.

Jelasnya, tindakan undang-undang itu diambil selepas pelbagai hantaran di media sosial menjadi tular sehingga menggambarkan dirinya terbabit dalam salah laku berkaitan Tabung Haji.

“Saya amat tegas soal integriti. Perkara ini tidak boleh dikompromi. Bila orang mula membuat fitnah dan mencemarkan nama baik saya, tindakan mahkamah adalah jalan terbaik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast